Sunday, February 09, 2014

Chalet Mat Leon, Taman Negara Pahang

1 Feb 2014 sempena cuti panjang Tahun Baru Cina, aku dan kawan-kawan pergi bercuti ke Taman Negara Pahang. Ini kali ke-6 aku ke sana dan ke semua percutian 6 kali  itu aku memandu terus ke Kuala Tahan. Belum pernah  naik dari jeti Kuala Tembeling sebab perjalanan dari Kuala Tembeling ke Kuala Tahan mengambil masa 2 jam. Kalau jalan darat lebih kurang hanya 1 jam 30 minit. Lagi pun selamat lagi di Kuala Tahan sebab boleh tengok kereta selalu.

Dalam 6 kali ke sana, 4 kali aku duduk di Chalet Mat Leon dan sekali di Agoh Chalet dan sekali di Seri Mutiara Taman Negara. Aku suka duduk di chalet Mat Leon sebab kawasannya sangat sunyi dan jauh dari hiruk pikuk orang ramai. Kawasannya juga berdekatan sungai dan boleh memancing. Cafenya pun cantik dan unik. Semua di buat dari kayu. Nyaman sangat kalau duduk di cafe dia. Kalau nak rasa hidup suasana kampung dan suasana hutan Mat Leon adalah tempat yang sesuai. Lagi satu data hanya 'Edge' di sini dan kawasan sekitar Kuala Tahan.

Makan
---------

Jika hendak merasa masakan kampung orang Jerantut seperti gulai rong (dibuat dari biji getah) dan sambal hitam asam belimbing boleh didapati di sini. Kadang-kadang jika bernasib baik mereka boleh sediakan masakan ikan sungai yang mereka tangkap. Harganya tidaklah mahal. Harga untuk makanan biasa yang goreng-goreng sedikit mahal. Biasanya RM6.50 .Tapi nasi putih terkejut juga tengok harganya RM2.50 satu pinggan. Masakan  tradisi penduduk sini sangat sedap. Makanan standard yang goreng-goreng tu kurang sedap.

Atas gulai asam rong. Bawah ikan sungai yang digoreng rangup. Saiznya 2x atau 3x besar dari ikan bilis.  Sangat sedap rasanya. Menurut ipar Mat leon mereka mengambil masa yang lama untuk  membuang isi perut ikan tersebut. Harga untuk kedua-duanya RM6.50


Jalan ke chalet Mat Leon
--------------------------------
Sekarang sudah dibuat jalan tar terus ke Chalet Mat Leon. Sementara ini belum ada  papan tanda ke situ. Untuk ke Chalet Mat Leon perlu melalui jalan ke Resort Woodland dan Resort Rainforest. Selepas Rainforest anda perlu menaiki jalan yang berbukit sedikit. Sila matikan aircon bila menaiki jalan bukit ini.  Hari itu kereta kami tak boleh naik langsung. Lepas matikan baru ok. Jarak dari Rainforest ke Mat Leon lebih kurang 200 meter .  Anda tak akan nampak chalet Mat Leon dari tepi jalan tar. Anda akan perasan di sebelah kiri ada jalan berturap batu yang bentuk jalannya curam  ke bawah dan jalan itulah menuju ke Mat leon. Jaraknya dalam 50 meter dari tepi jalan tar. Jika sebelah malam kawasan ini amat gelap gelita tapi adventure.

Jika dahulu kami terpaksa parking jauh dicelah-celah rumah orang dan berjalan kaki ke chalet Mat Leon atau minta Mat Leon  mengambil kami. Dari chalet  jika hendak ke  jeti Kuala Tahan mengambil masa 10 minit berjalan kaki atau Mat Leon boleh hantar ke jeti Kuala Tahan menggunakan bot/4wd. Cuma sebelah malam jika kita hendak melepak di jeti Kuala Tahan Mat Leon boleh hantar cuma nak balik kena balik sendiri. Memang adventure balik jalan kaki meredah  hutan dan rumah orang dalam keadaan gelap-gelita. Tapi kena ada lampu suluh kalau tak meraba nak balik..  Yang seronoknya kadang-kadang kita boleh nampak  kucing hutan. Kalau bernasib baik ular pun boleh jumpa.

Di pondok Mat Leon ini boleh memancing.


Pemandangan dari pondok sampan. Ini gambar lama. Yang terbaru tangga ini telah rosak teruk dan rumput-rumput semua dah tak ada hanya dipenuhi pasir halus akibat banjir besar baru-baru ini.

Dari pondok sampan. Air deras. Kalau nak mandi boleh.Kami mandi di tepi batu sebelah kanan tu dengan memakai jaket keselamatan. Menurut pekerja Mat Leon di sini pernah berlaku kematian  kerana lemas di tarik pusaran air

Cafe. Nyaman duduk sini kadang-kadang terasa kesejukannya
 
Pemandangan dari cafe ke pondok sampan


Harga chalet
---------------
Chalet aircond - RM150 - baru di bina mengadap sungai.
Chalet standard (kipas) - RM60
Chalet untuk 4 orang (kipas) - RM80
Dorm chalet (bilik air luar) - RM15 satu kepala (satu dorm muat 4 orang)
Khemah - RM5 satu kepala (khemah bawa sendiri)

Nak sumbat berapa ramai dalam chalet tak kisah. Chaletnya hanya  ala kadar saja.

Pro
----
1. Air sejuk. Pikir panjang kalau nak mandi pagi.
2. Tuala di sediakan
3. Air paip laju.
4. Ada sarapan pagi

Kontra
---------
1. Bergoyang-goyang tangga chalet bila pijak
2. Tiada cermin, sabun mandi, tv, cerek,gelas
3. Pintu bilik air dari dalam tak ada selak
4. Batang singki bocor
5. Kotak flush rosak.  Air payah nak penuh walaupun airnya laju.


Setiap chalet disediakan fire extinguisher. Maklumlah chalet kayu mudah terbakar.


Balkoni mengadap hutan.Kami jadikan balkoni ni tempat memasak dan makan. Dapur gas, periuk belanga bawa sendiri. Pinggan mangkuk boleh pinjam dari cafe Mat Leon.
Dinding nampak baru

Add caption

Itu chalet baru yang ada aircond. Berhadapan sungai. Bulatan merah tempat perkhemahan. Tak besar pun. Tanah bahagian situ saja yang rata. Bahagian lain penuh akar.

Dorm mengadap cafe.. Satu bilik 4 katil

Monday, December 30, 2013

Hotel Peach Blossom, Langkawi

27 Dec kami menyewa pula hotel Peach Blossom di Langkawi. Harga Standard room RM88. Hotel ini terletak berdekatan dengan kedai Haji Ismail Group di Kuah. Jalan kaki mungkin 10 minit. Hotel ini nampak masih baru beroperasi. Ini gambar hotelnya. Gambar bilik terlupa nak ambil hanya ambil video saja.

Hotel ini sedkiti terceruk. Sebelah kanan kawasan ini ialah perkampungan Melayu. Sebelah kiri pula jalan besar.

Nak masuk kena buka kasut.

Laluan belakang ke bilik kami. Kena buka kasut di luar.
 Pro
----
1. Bilik dan bilik air baru dan bersih
2. Pengelap kaki
3. Dua soket kuasa di kepala katil
4. Kasut tak boleh dibawa ke bilik
5. Wifi
6. Semua bilik di ground floor. Sesuai untuk OKU dan orang tua.

Kontra
--------
1. Bilik kecil rasa tak sepadan dengan harga
2. Tiada arah kiblat
3. Speaker TV membingitkan
4. Wifi hanya sampai pukul 12 malam.
5. Tiada cerek dan gelas.
6. Tidak diberi tuala dan sabun.

Ini video biliknya.
---------------------



The Leverage Business Hotel, Kuala Kedah

Kelmarin 26 Dec kami pergi ke Kuala Kedah. Sebenarnya bukan nak pergi ke Kuala Kedah tapi hendak ke Langkawi tapi tidur di Kuala Kedah. Kami tempah bilik melalui internet. Malas nak mencari secara manual...letih. Jadi kami pilihlah bilik standard di hotel yang ada tajuk bisnes. Saja nak merasa macam mana bisnes di Kuala Kedah. Harga Bilik standard room RM95 termasuk cukai bodoh. Kami duduk di bilik no. 235. Di sertakan gambar hotel dan bilik serta pro dan kontra.



Lobi











Pro
----
1. Astro
2. WIFI
3. Sachet nescafe
4. Pengering rambut

Kontra
--------
1. Bilik air dia boleh nampak bayang2 badan bila buat aktiviti sulit.
2. Pancur air dia atas shiling.
3. Lantai bilik air seperti dah lama tak sental.
4. Tiada almari, peti ais mini, seterika.
5. Tiada lif. Bilik bermula di tingkat 1
6. Pelayan kaunter tak mesra pelanggan. Masam mencuka.


Ini video bilik.
-----------------





Thursday, December 12, 2013

Hotel Chua Gin, Cameron Highland

Baru ini 29 Nov 2013, Aku bersama dua orang kawan aku  pergi ke Cameron lagi. Bertolak naik dari Simpang Pulai pukul 4:00 pagi dan sampai di Masjid Brinchang betul2 azan subuh sedang berkumandang. Sebelum naik kami tidur sekejap di RnR Tapah dan di tol Simpang Pulai. Konon nak bergerak naik selepas subuh di Simpang Pulai tapi rasa rugi masa pula.

Sepanjang perjalanan naik hujan turun renyai-renyai dan kenderaan yang kami nampak hanya lori-lori kecil yang boleh di bilang dengan sebelah jari tangan saja. Seronok bila buka tingkap dan rasa kesejukan angin pagi beserta hujan tersangat damai dan menusuk ke tulang sulbi. Di tempat-tempat tertentu kabus amat tebal sehingga jarak penglihatan terhad.

Semasa di Masjid Brinchang datang seorang lelaki beramah mesra dengan kami. Namanya Ghazali Muda seorang peladang yang berjaya dan juga seorang backpacker yang telah banyak merantau ke merata negara. Dia terkejut bila tahu kami naik pukul 4:00 pagi. Dia  pun berkongsi sikit pengalaman dia menjadi backpakers dan sejarah pekerjaannya  Ini blognya http://www.gmpeladang.com.my . InsyaAllah satu hari nanti kami  pergi ke ladangnya pula.

Selepas jalan2 sekejap di Brinchang dan Tanah Rata kami pun cari hotel murah di Brinchang. Selepas survey dua tiga hotel kami memilih Hotel Chua Gin kerana murah dan ada blok bilik yang baru. Terletak berhadapan stesen teksi Brinchang dekat dengan Balai Bomba dan Masjid Brinchang.

Hotel utamanya  bersebelahan bangunan oren. Gambar tak jelas sebab diambil dari dalam kereta. Hujan masa tu.

Ini bangunan bilik baru terletak di belakang hotel utama. Bilik kami di tingkat 2 nombor 902.

Harga:
Standard room yang ada balkoni : RM108 (waktu puncak). Hari biasa RM98.
Standard room tiada balkoni : RM98 (waktu puncak). Hari biasa tak tanya pula.

Standard room ini bukan sahaja ada katil queen sahaja tapi ada sekali katil lebih. Jadi sesuailah untuk
kami 3 orang tak payah berhimpit atas satu katil.

Pro
----
1. Murah dan bersih
2. Boleh masuk awal tanpa bayaran tambahan. Kami masuk pukul 10:00 pagi.
3. Ada tisu tandas, sabun, pemanas
4. Astro
5. Cerek dan gelas cuma tak ada teh uncang.
6. Pengelap kaki
7. WIFI
8.  Kipas
9.  Ada satu katil lebih
10. Dalam bilik air ada paip khas senang nak ambil wuduk.
11. Soket kuasa banyak. Tak salah ada lima soket.

Kontra
---------
1. Tak ada lif.
2. Semua bilik bermula di tingkat satu


Ada satu katil lebih di bawah tu




Paip air untuk ambil air wuduk

Ini video bilik.


Friday, December 06, 2013

Hotel Grand Margherita, Kuching

Selepas sehari duduk di Harbour View, Kami berpindah pula ke Hotel Grand Margherita. Juga tidak jauh dari Harbour View. Lokasinya di tebing sungai sahaja. Hotel ini untuk kelas perniagaan bertaraf mungkin 4 atau 5 bintang. Harga semalam untuk Superior Twin RM200. Itu harga promosi minit akhir di Internet. Harga termasuk sarapan pagi.

Pro
----
1. Bilik luas dan cantik
2. Apa yang tiada di Harbour View ada di Grand Margherita,
3. Sarapan buffet paginya sedap

Kontra
---------
1. Bilik airnya sedikit lama

Ini video biliknya.


Wednesday, December 04, 2013

Hotel Harbour View, Kuching

6 Oktober 2013 aku dan kawan aku terbang ke Kuching menghadiri seminar IPV6. Lokasi kami yang pertama ke Water Front tempat yang popular untuk orang luar dan masyarakat tempatan beristirehat. Kawasan Water Front  ini banyak hotel murah dan mahal berselerakan. Tidak menjadi masalah kepada sesiapa yang datang ke Kuching untuk mencari tempat menginap.

Seorang lelaki yang meniaga di tebing sungai mencadangkan kami duduk di John's Place bajet hotel. Harganya murah tak sampai RM70 dan masih baru katanya. Kami terus ke sana dan memang pun nampak baru dan aku meninjau biliknya yang sedang dikemas dan memang nampak luas dan bersih. Cuma aku tak berani untuk menginap di situ kerana di bawah hotel itu kedai makannya dipenuhi lelaki yang minum arak. Cara mereka pandang kami pun macam tak pernah jumpa manusia dan kawasan sekitarnya terasa sunyi dan tempatnya tersorok dari laluan jalan utama.

Untuk keselamatan diri kami menginap di  Harbour View hotel yang terletak bersebelahan dengan John's Place.



Harbour View Hotel. Gambar songlap dari web rasminya.



Harga standard room yang paling murah RM155. Harga bilik kami RM166 kerana mengadap sungai dan tiada sarapan pagi untuk harga ini. Aku teruskan saja pro dan kontra bilik ini.

Pro
----
1. Berdekatan dengan Water Front dan kedai-kedai souvenir.
2. Kebiasaan hotel bisnes (Wifi, tv satelit, peti ais mini, pengering rambut)

Kontra
--------
1. Bilik nampak lama dan  kecil
2. Katil rapat ke dinding.
3. Jangan terkejut ada bible dalam laci
4. Tak ada seterika (macam ini hotel untuk orang bisnes ?)
5. Saluran paip hendak cuci anu tak ada. Nak tarik paip mandi tak sampai. Terpaksalah guna gelas. Agaknya hotel ni khusus di buat untuk orang barat menginap.


Ini video bilik hotel tu.





Tuesday, July 23, 2013

Grand Puteri Hotel, Terengganu

Selepas keluar dari Pulau Kapas hari tu kami terasa letih untuk berjalan jauh lagi. Hasrat untuk ke Kelantan di batalkan. Kami bercadang menginap di Kuala Terengganu sahaja. Lepas solat Zohor di Masjid Putih dengan tak semena-mena kami ternampak banner hotel baru telah dibuka pada 15 April 2013 dengan harga promosi apa lagi kami pun ambil peluanglah menginap di hotel baru ini. Hotel ini terletak berdekatan stesen bas dan juga berdekatan Masjid Putih. Hotel ini ramai dengan orang-orang kerajaan.

Gambar Grand Puteri Hotel diambil dari kawasan parking hotel



Kaunter hotel
 Ruang legar hotel. Belakang sana tu cafe dia.



Harga promosi yang kami dapat ialah RM118 untuk bilik superior.  Ingat nak try bilik lain sebab kami bertiga tapi dah penuh. Tak tahu sampai bila promosinya.  Harga ini termasuk dengan sarapan pagi untuk dua orang. Ini harga setiap bilik.



Bawah ini  gambar bilik no.426 yang kami menginap:







Pro
----
1. Bilik baru tapi berhabuk sedikit.
2. Disediakan buku doa
3. Ada seterika, peti ais mini
4. Barang asas tisu bontot, shampoo,sabun semua ada.
5. Tap air panas ada
6. Channel tv ada astro
7. Internet boleh di akses guna wifi atau guna utp cable (minta dikaunter)
8. Hotel ada lif

Kontra
---------
1. Kalau ikut harga asal rasa macam mahal
2. Tak ada pengelap kaki di pintu bilik air. 
3. Sarapan pagi tak banyak menu. Rasa biasa sahaja cuma nasi lemaknya sedap. Yang pelik tak ada  nasi dagang.









Tuesday, July 09, 2013

Ulasan drama Inggeris The Miracle Worker


Pertama kali aku menonton cerita ini di sebuah kedai makan waktu petang dalam pukul 6:00 hari Ahad dan ditayangkan tv3 tiga tahun yang lepas. Aku dengan kawan-kawan aku boleh melangut tengok sampai habis cerita tu. Bukan kami sahaja pekerja-pekerja kedai makan dan bossnya juga melangut sama. Biasanya orang melangut tengok filem aksi ini
melangut tengok filem zaman 1880an yang kostum pakaian orang putih ketika itu sangat
bersopan dan masih tinggi nilai moralnya. Kalau orang yang tak berapa reti tengok drama berat dan tak suka tengok cerita klasik macam kawan-kawan aku boleh melangut, kira hebatlah aura filem ni dan diberitakan juga drama ini selalu dilakonkan semula di sekolah-sekolah di Amerika.

Siapa yang tidak kenal Helen Keller antara manusia hebat yang dijadikan Allah di atas muka bumi ini. Seorang yang buta,pekak dan bisu tetapi berjaya menjadi seorang penulis, aktivis dan pensyarah yang termahsyur. Tidak terungkai di fikiran kita bagaimana hidup orang yang sebegitu rupa tetapi inilah hakikatnya kebesaran Allah. Setiap kekurangan sebenarnya ada kelebihan dan hikmah yang sangat besar.

Filem ini bukan sahaja berkenaan Helen Keller tetapi isi terpenting di dalam filem ini berkenaan orang yang bertanggungjawab mencetuskan inspirasi kejayaan kepada Helen iaitu Anne Sullivan sebab itulah tajuknya diberikan "The Miracle Worker".

Kisah berlaku di tahun 1890an di Alabama, A.S. Helen seorang anak yang bijak dan ketika itu berumur dalam lingkungan 7 tahun menghadapi masalah komunikasi dengan ibubapanya. Ini menyebabkan Helen kecewa kerana sukarnya dia hendak menyuarakan kehendak isi hati dan kesunyian serta kegelapan yang menyelubungi dirinya menjadi punca Helen meluahkannya dalam bentuk keganasan. Dan sikap ganas dan barannya
tidak dapat dikawal langsung oleh ibubapanya. Tekanan yang diberikan Helen kepada ibubapanya menyebabkan ibubapanya mencari pertolongan dari Institut Orang-orang Buta Perkins setelah dinasihatkan oleh seorang doktor.Institut Perkins telah menghantar pelajar terbaiknya Anne Sullivan untuk mendidik Helen. Anne Sullivan adalah seorang rabun yang hampir buta matanya juga. Tetapi semangat percaya kepada diri sendiri dia tidak menganggapnya sebagai kekurangan malah yakin dia mampu membantu Helen.

Di rumah, keluarga Helen tidak begitu percaya dengan kemampuan Anne kerana dia juga cacat penglihatan. Kerja pertama Anne bermula di meja makan. Melihat Helen yang tidak beradab dengan mengambil dan memakan makanan dari pinggan orang lain Anne terus menghalang Helen dan Helen memberontak sehingga memecahkan pinggan mangkuk di atas meja. Anne masih tidak mahu memberinya makan sehingga dia beradab di meja. Ini
memberi tekanan kepada ibubapa Helen kerana mereka merasakan cara Anne terlalu kasar dan kejam. Bagi mereka kasih sayang itu adalah dengan memanjakan Helen dan memenuhi kehendaknya. Anne memberikan kata dua kepada ibubapa Helen supaya tidak mencampuri urusannya dengan Helen.

Sifat Anne yang degil, keras dan tegas memang kena dengan Helen seumpama buku bertemu ruas. Bapa Helen tidak sanggup melihat anaknya diperlakukan begitu keras dan mahu memecat Anne tetapi dipujuk isterinya supaya memberi masa lagi. Anne menegur layanan manja diberikan ibubapa Helen kepada anaknya. Kerana dimanjakan berlebihan itulah Helen tidak mampu untuk berdikari dan seterusnya akan hanya bergantung hidup pada ibubapa. Anne umpamakan perangai Helen lebih buruk dari perangai haiwan peliharaan
dan kecacatan yang ada pada keluarga Helen itu lebih besar dari kecacatan yang Helen hadapi. Kata-kata Anne mengguris hati ibubapa Helen tetapi mereka masih memberi peluang untuk Anne meneruskan usahanya mendidik Helen. Anne berkata demikian kerana pengalaman masa kecilnya yang memanjakan adik lelakinya menyebabkan adiknya menjadi
seorang yang penakut dan sentiasa hidup di bawah ketiaknya.

Anne meminta kebenaran untuk dia duduk berdua dengan Helen di sebuah rumah di ladang keluarga Helen kerana ini akan memudahkannya mengajar Helen dengan lebih baik kerana Helen hanya akan bergantung hidup pada Anne tanpa kehadiran ibubapanya. Dengan berat hati mereka memberikannya dua minggu sahaja. Walaupun masa diperuntukkan terlalu
pendek Anne terpaksa mengikut juga.

Anne menggunakan sifat marah dan sifat bijak yang ada pada diri Helen untuk mengawal dan mengajar. Helen tidak akan diberikan ganjaran jika tidak mengikut kata Anne. Helen cepat menangkap ejaan-ejaan isyarat tangan yang diajar Anne tetapi masih tidak mampu untuk menghubungkannya dengan benda-benda yang dipegang. Contoh; Helen
menyentuh anjing dan Anne mengejakannya itu "dog" pada tangan Helen tetapi Helen mengejanya "water". Jika hendak makan diejanya "cake" dan dia tidak mengerti "cake" itu sebagai kek dan inilah yang tidak dapat ditangkap oleh Helen dan menjadikan Anne buntu tetapi masih tidak putus asa untuk terus berusaha sehinggalah tarikhnya sudah tamat.

Apabila kembali ke rumah semula Helen menunjukkan sikap lamanya yang biadap di meja makan yang sebelum ini diikuti dengan baik semasa di bawah penjagaan Anne di rumah terpencil itu. Ini menyebabkan Anne kecewa dan marah pada ibubapa Helen yang tidak memberikan masa yang lebih panjang kepadanya untuk mendidik Helen. Anne dengan kasar dan biadapnya juga menghalang Helen dari memakan makanannya tetapi didesak oleh ibubapa dan nenek Helen supaya jangan mengganggu Helen. Tetapi akhirnya ibu Helen merasakan apa yang di buat Anne betul dan dibenarkan Anne membuat apa sahaja terhadap Helen. Ketika itulah Anne mendukung Helen bersama dengan jag air dan menyuruh Helen mengepam air untuk diisi ke dalam jag yang ditumpahkannya di meja makan. Anne
mengajar memegang pam dan mengeja perkataan pam dan memegang air dan mengeja perkataan air. Di saat inilah Allah turunkan ilham pada Helen makna hubungan perkataan "water" itu dengan air yang disentuh. Detik itulah bermulanya kehidupan baru pada Helen Keller.

Jika sesiapa yang menonton cerita ini sudah pasti tidak akan terhenti di situ sahaja bahkan ia memberi motivasi kepada kita untuk mencari cerita selanjutnya tentang dua manusia hebat ini. Mengikut sejarah Anne Sullivan telah menjadi guru, mentor dan sahabatnya sehingga ke akhir hayat Anne. Dan Anne juga mengajar Helen bercakap dengan
menggunakan cara "Tadoma" iaitu dengan menggunakan sentuhan bibir dan getaran kerongkong pada orang lain ketika bercakap.

Sejarah hidup mereka berdua telah menjadi pedoman hidup beribu-ribu manusia yang cacat sebagai kekuatan melawan kecacatan fizikal dan juga pedoman kepada kita yang sempurna fizikal tetapi cacat jiwa.

Tidak rugi untuk membeli cd ini untuk dijadikan koleksi dan ditonton bersama keluarga dan tidak rugi juga untuk diberikan hadiah kepada anak, murid-murid dan guru serta sesiapa sahaja kerana motivasi sejarah ini mungkin dapat menghidupkan semula jiwa kita yang tidur. Inilah salah satu filem terhebat yang pernah aku tonton. Adios!!.

Monday, July 08, 2013

TM Resort Tanjung Bungah, Pulau Pinang

Kali ini (1 Julai 2013) kami ke Pulau  Pinang dan bercadang hendak menginap di Batu Feringghi. Setelah melawat kawasan pantai dan chalet-chalet yang ada aku rasa tak berapa berkenan dengan chalet-chalet di kawasan Batu Feringghi ini. Kawasannya seperti perkampungan setinggan pula. Banyak pula lalat. Jadi kami bercadang nak menginap di tempat yang ekslusiflah kononnya. Tengah cari-cari tempat nak tidur ternampak papan tanda TM Resort. Apa lagi terus serbulah sebab  kawan aku yang ada sekali ini kerja dengan TM. Jadi dapatlah harga pekerja.  RM90 hari biasa dan RM110 hari luar biasa.  TM Resort ini dibuka untuk orang luar juga. Harga RM200 hari biasa dan RM250 hari luar biasa.  Setiap unit harganya sama.

Bahagian hadapan resort

Bahagian dalam resort. Boleh berendam tu.

Kalau tak cukup kolam dia silalah ke kolam lagi besar yg berada depan resort ni

Cafe sunyi sepi

Lobi pun sunyi sepi


Masa kami datang kawasan ini amat sunyi tiada penghuni lain. Hanya dua unit sahaja yang berpenghuni. Tapi aku suka sebab rasa macam TM resort  ini AKU YANG PUNYA. hehe. Setiap unitnya mengadap ke laut.

Aku menginap di unit 104.

Pro
----
1. Bilik ada dua. Katil queen satu dan katil single dua. Boleh sumbat seramai mungkin.
2. Bilik air dua. Tisu tandas disediakan, Ada tap air panas lagi.
3. Ada kitchen kabinet. Bawa dapur gas mini dan pinggan mangkuk kalau nak main masak-masak.
4. Ada sofa, tv, mini peti ais, cerek, aircond. Ruang tamu hanya kipas.
5. Soket kuasa merata-rata.
6.  Channel tv biasa. Tidak ada astro.

Kontra
---------
1. Pintu utama tak boleh kunci dari dalam. Guna selak saja. Tawakallah ya.
2. Flush tandas di dua bilik tak berfungsi. Kena angkat penutup air dia dan tarik flush dia dari dalam. Dahlah berat penutupnya kalau jatuh pecah kena kaki macam mana? Nak guna cara kuno simbah-simbah tak ada timba pula.
3. Pengelap kaki di bilik air tak ada.
4. Tak ada sachet. Beli sendiri.
5. Tak mesra OKU sebab tidak ada lif. Unit bermula di tingkat satu tiada unit di ground floor. 

Ini video bilik tu.



Food Court Pantai Batu Burok

Ini sambungan percutian dari Pulau Kapas hari tu. Selepas keluar dari Pulau Kapas kami singgah pula di Kuala Terengganu cari makan tengah hari. Kami makan di food court Pantai Batu Burok. Komen....tak sedap. Nasi diisi dalam kertas bungkusan dilapik dengan pinggan kertas. Macam mana nak ada selera nak makan. Kedai sebelah-sebelah pun berkira siap pesan lagi kalau dah makan hantar balik ke kedai asal. Air pun tak boleh pilih kedai kena beli dari kedai yang kita duduk. Kalau tengok peniaga-peniaga kedai ni tak tak tegur jiran kedai sebelah semua bawa hal masing-masing. Siap ada orang kedai tu cakap "saya tak campur orang lain". Baguslah tu patutlah tak maju kedai-kedai di sini.  Sesuai sangatlah nama pantai tu dengan perangai orang kedai di sini. Penuh dengan hasad dengki. Ingatkan di KL saja ada masalah macam ini di sini pun ada.  Nak cerita masa nak bayar kami tunjuklah terung yang kami makan ada ulat. bila tunjuk pada tokey kedai dia kata kita pun tak tahu ada ulat dalam tu. bila dah jawapan macam tu maksudnya memang tak ada diskaunlah ya. Dasar orang kemaruk duit dan dasar orang tak reti nak meniaga tapi nak meniaga juga macam tulah jawapan dia. Minta maaf pun tak nak. inilah gambar kedai yg kami makan tapi aku makan kedai sebelah dia. Sotong goreng kat tangan tu sedap yang lain-lain tak berapa. Moral ceritanya lain kali sila jangan makan di food court Pantai Batu Burok yang buruk tu. Adioss!!








Thursday, June 06, 2013

Restoran Haji Sharin Low, Sungai Merab.

Semalam 5 Jun pergi makan di Resotran Cina Haji Sharin Low di Sungai Merab,  area Bangi ke Kajang ke Putarajaya...entah. Ini kali kedua makan di sini.  Hari tu aku dan geng makan ala carte ambil sotong masak asam dan Kong Po Beef. Oklah rasa dua-dua masakan tu. Kali ini kami ambil Chi Choy Soup, Buttered Prawn dan Salted Egg Fried Squid. Rasa sup dia sangat sedap tapi Buttered Prawn dan Squid salted dia sangat mual. Cara masakan dia sangat berbeza dengan masakan cawangannya di Kota Damansara.  Bukan sahaja berbeza dengan cawangannya tapi berbeza dengan semua kedai masakan cina yang pernah kami pergi. Yang paling kami tak boleh terima ialah masakan sotongnya. Dua kali kami bertanya betulkah itu Salted Egg Fried Squid dan kenapa berbeza dengan masakan di cawangan lain? Pekerjanya di situ  menyatakan ia bergantung kepada tukang masak dan Haji Sharin sendiri yang hendakkan setiap cawangannya mempunyai rasa berlainan.

Berlainanlah sangat sampai tak sedap. Tak masuk akal kalau Haji Sharin minta sebegitu. Mana-mana restoran yang buka cawangan mestilah disebabkan rasa makanan di restoran asalnya sedap dan mahu cawagannya mempunyai rasa yang standard dengan yang asal. Kalau nak rasa berlainan baik letak nama lain. Tengok gambar sotong salted dia di bawah ni, macam sotong balut tepung. Rasanya pun tepung dan tawar. Tak ada pencicah. Ini ajelah satu gambar yang terasa nak ambil. Maaflah gambar tak cantik.



Bandingkan pula dengan sotong salted dia cawangan Kota Damansara di bawah ini. Rasanya sangat rangup dan pencicah cilinya pun sedap sehingga menjilat pinggan. Kan sangat berbeza masakan di atas dan di bawah.



Bawah ini pula Udang Buttered Nestum cawangan Kota Damansara. Nampak kerangupan dia. Memang sedap tak dinafikan. Tapi Udang Buttered di Sg. Merab sangat menhampakan. Udangnya besar tapi tekstur rasa tiada langsung. Malas nak tangkap gambar.



Pujian tetap diberikan pada pekerjanya yang melayan kami dengan baik. Semasa membayar pekerja kaunternya tanya bagaimana masakan restoran ini dan terus terang aku jawab tidak sedap melainkan sup. Dia senyum dan dia buat kesimpulan kami dah biasa dengan masakan Kota Damansara sebab itu tak biasa di sini. Tak kisahlah dia nak simpul apa tapi yang pasti sangat memang TAK SEDAP dan sangat mengecewakan. KECEWAnya sampai sekarang tak habis sebab tak berbaloi dengan harga yang dibayar dan pertama kali dalam sejarah kami makan makanan cina yang TAK SEDAP.  Ini harga yang kami makan untuk tiga orang semalam. Adioss!!.