Thursday, November 30, 2006

Sukan FESPIC KL06

Selepas habis gym semalam aku terus pergi ke Stadium Bukit Jalil dalam pukul 8:00 malam dengan tujuan untuk memberi sokongan kepada peserta-peserta sukan FESPIC KL06. Melihat lampu stadium Bukit Jalil terpasang jadi mesti ada acara balapan berlangsung tapi pintu stadium terkunci. Aku pun bertanya pada budak bulan Sabit Merah yg ada di situ. Dia kata tak ada acara sebelah malam hanya siang saja ada. Aku tanya stadium putra ada acara atau tidak dan dia kata dia tak tahu sangat. Hmm...aku tanya salah orang rupanya.

Aku pun hairan kenapa wesbite sukan FESPIC (http://www.kl06.com) tak letak langsung waktu-waktu acara dijalankan dan tempat-tempat acara dijalankan pun tak tepat langsung. Seperti acara Tenpin Bowling dalam senarai katanya dijalankan di Sunway, Piramid tetapi iklan tepi jalan mengatakan di Endah Parade, Sri Petaling. Dalam tv ditunjukkan memang dijalankan di Endah Parade. Kemudian katanya Powerlifting di Stadium Putra tapi tak ada pun. Bila aku cari official website dia (http://www.kl06fespicgames.com.my) senarai tempat bertanding lain pula tapi rasanya lebih tepat tetapi masa bertanding masih tidak ada. Diharapkan ahli jawatankuasa FESPIC akan datang lebih peka dengan masalah-masalah ini. Sukan ini berprestij tinggi jangan jadikan sukan ini tak ada kelas langsung.

Selepas itu aku pergi ke stadium putra. Rupanya di sana ada perlawanan ping-pong membabitkan semua negara. Aku pun duduk di tingkat dua seorang diri dan tak ada orang di kawasan aku jadi aku pun buatlah macam rumah sendiri angkat kaki dan baring. Tak ada orang nampak pun harap-harap tak ada kamera fokus nanti glamer pula dalam tv. Aku rasa media massa masih tidak mempromosikan sukan ini dengan meluas sebab dalam 30 orang yang ada di sana penonton luar boleh dibilang dengan jari yang selebihnya sukarelawan yang terbabit dengan FESPIC. Semasa peserta-peserta masuk ke ruang-ruang pertandingan sukarelawan-sukarelawan seramai 20 orang dikumpulkan di hadapan kamera dan disuruh memberi tepukan gemuruh. Bila kamera fokus pada kelompok itu saja nampak macam ramailah penonton bila keluar dalam dalam tv tu nanti tapi hakikatnya hampeh. Di satu sudut terdapat seramai 10 orang penyokong Malaysia yang mengibarkan bendera Malaysia dan memberi semangat kepada peserta-peserta Malaysia. Suara mereka saja yang terdengar dalam stadium tu dan memang meriah sedikit malam tadi dengan sokongan mereka. Kita perlukan lebih ramai lagi penonton-penonton sebegitu untuk sukan sebegini dan media massa-media massa Malaysia juga ahli-ahli politik dan sesiapa yang berkuasa perlulah memberi sokongan yang lebih besar lagi. Buat masa ini hanya RTM 1 sahaja yang membuat liputan sukan FESPIC setiap malam. Diharapkan media lain juga ambillah langkah seperti RTM juga.

Kepada peserta-peserta ping pong malam tadi permainan anda semua memang mengagumkan. Aku pun boleh kalah kalau main dengan mereka tu. Aku suka melihat mereka membawa diri dan bermain tanpa ada kekurangan pun. Aku tak terbayangkan pun orang yang tiada jari dan hanya ada tangan sependek lengan boleh main ping pong seperti pro tapi itulah yang ditonjolkan pemain-pemain malam tadi.

Orang-orang istimewa ini bukan hendak layanan istimewa dan mereka juga tidak mahu belas kasihan tetapi mereka mahu kita terima mereka seperti manusia normal dan layanan yang sama dan bukan dianggap seperti makhluk asing. Alaa..kita ni kalau nampak mereka akan pandang mereka sampai tak kelip-kelip mata betul tak? sebab kita tak pernah atau jarang melihat manusia istimewa dan disudut hati-hati kita itu akan mengata kekurangan manusia ini dan sukar untuk kita bertegur dan berkawan dengan mereka, rasa geli pun ada. Mulut memang tak mengata tapi hati itu tidak pernah menipu. Kita ini sebenarnya yang cacat bukan mereka.

Jadi dengan sukan-sukan sebegini kita akan membiasakan diri kita dengan orang-orang istimewa ini. Kita akan menerima mereka seadanya dan insya allah kita tidak akan nampak fizikal mereka sebagai satu kekurangan. Ibubapa juga ambillah peluang ini untuk membawa anak-anak ke sukan FESPIC ini, dedahkanlah anak-anak anda dengan orang-orang istimewa ini supaya mereka tahu orang-orang istimewa ini adalah seperti mereka juga yang ada hati budi dan perasaan. Adioss!!

**Aku tak puas hati kenapa penutupannya hari Jumaat? Kenapa tidak dibuat pada hari Sabtu/Ahad waktu hari bercuti? Berapa ramai agaknya nanti manusia akan datang hari Jumaat tu nanti ye? Kita tunggu dan lihat.

No comments: