Thursday, November 04, 2010

Ulasan Filem Iran : The Apple


The Apple berdasarkan kisah benar yang didedahkan oleh media Iran pada satu ketika tentang kehidupan kanak-kanak malang Zahra dan Massoumeh. Mengisahkan dua orang anak perempuan terencat akal yang tidak pernah melihat dunia luar selama 11 tahun kerana dikurung bapanya di rumah. Bapanya terpaksa berbuat demikian kerana risau sesuatu yang tidak baik berlaku kepada kedua-dua anak perempuannya ketika beliau keluar mencari rezeki. Ibu anak-anak perempuan tersebut pula buta dan tidak pernah ditinggalkan keseorangan tanpa ditemani anak-anaknya.

Laporan oleh jiran-jiran tentang keadaan kedua-dua anak perempuan tersebut kepada Jabatan Kebajikan telah mengubah nasib mereka berdua dan mencabar prinsip hidup kedua ibubapa mereka. Filem ini menceritakan perasaan kedua-dua kanak-kanak tersebut apabila menempuhi dunia luar buat pertama kali.

Filem Iran ini merupakan arahan pertama Samira Makhmalbalf yang pada masa itu berusia 17 tahun dan merupakan satu-satunya pengarah paling muda di dunia. Filem ini telah ditayangkan di banyak negara dan mendapat pencalonan di Festival Cannes. Bagi aku filem pertama beliau ini telah berjaya menyentuh nilai-nilai kemanusiaan yang ada di dalam diri kanak-kanak cacat dan juga nilai-nilai mulia masyarakat. Apa yang menarik lagi tentang filem ini ialah semua watak-watak ini dipegang oleh orang yang asal, Zahra dan Massoumeh dan kedua ibubapanya, jiran-jiran tetangga, orang Jabatan Kebajikan hanya watak seorang kanak-kanak perempuan di padang permainan dan penjual jam sahaja merupakan pelakon yang diambil. Bermaksud filem ini bukanlah lakonan yang dibuat-buat dan bukan dokumentari cuma mengisahkan kehidupan keluarga kanak-kanak malang itu. Silalah lihat di youtube http://www.youtube.com/watch?v=qBGWuegG22M filem beliau ini dan nilaikan sendiri hasil kerja arahan seorang remaja. Adios!!!

No comments: