Tuesday, July 09, 2013

Ulasan drama Inggeris The Miracle Worker


Pertama kali aku menonton cerita ini di sebuah kedai makan waktu petang dalam pukul 6:00 hari Ahad dan ditayangkan tv3 tiga tahun yang lepas. Aku dengan kawan-kawan aku boleh melangut tengok sampai habis cerita tu. Bukan kami sahaja pekerja-pekerja kedai makan dan bossnya juga melangut sama. Biasanya orang melangut tengok filem aksi ini
melangut tengok filem zaman 1880an yang kostum pakaian orang putih ketika itu sangat
bersopan dan masih tinggi nilai moralnya. Kalau orang yang tak berapa reti tengok drama berat dan tak suka tengok cerita klasik macam kawan-kawan aku boleh melangut, kira hebatlah aura filem ni dan diberitakan juga drama ini selalu dilakonkan semula di sekolah-sekolah di Amerika.

Siapa yang tidak kenal Helen Keller antara manusia hebat yang dijadikan Allah di atas muka bumi ini. Seorang yang buta,pekak dan bisu tetapi berjaya menjadi seorang penulis, aktivis dan pensyarah yang termahsyur. Tidak terungkai di fikiran kita bagaimana hidup orang yang sebegitu rupa tetapi inilah hakikatnya kebesaran Allah. Setiap kekurangan sebenarnya ada kelebihan dan hikmah yang sangat besar.

Filem ini bukan sahaja berkenaan Helen Keller tetapi isi terpenting di dalam filem ini berkenaan orang yang bertanggungjawab mencetuskan inspirasi kejayaan kepada Helen iaitu Anne Sullivan sebab itulah tajuknya diberikan "The Miracle Worker".

Kisah berlaku di tahun 1890an di Alabama, A.S. Helen seorang anak yang bijak dan ketika itu berumur dalam lingkungan 7 tahun menghadapi masalah komunikasi dengan ibubapanya. Ini menyebabkan Helen kecewa kerana sukarnya dia hendak menyuarakan kehendak isi hati dan kesunyian serta kegelapan yang menyelubungi dirinya menjadi punca Helen meluahkannya dalam bentuk keganasan. Dan sikap ganas dan barannya
tidak dapat dikawal langsung oleh ibubapanya. Tekanan yang diberikan Helen kepada ibubapanya menyebabkan ibubapanya mencari pertolongan dari Institut Orang-orang Buta Perkins setelah dinasihatkan oleh seorang doktor.Institut Perkins telah menghantar pelajar terbaiknya Anne Sullivan untuk mendidik Helen. Anne Sullivan adalah seorang rabun yang hampir buta matanya juga. Tetapi semangat percaya kepada diri sendiri dia tidak menganggapnya sebagai kekurangan malah yakin dia mampu membantu Helen.

Di rumah, keluarga Helen tidak begitu percaya dengan kemampuan Anne kerana dia juga cacat penglihatan. Kerja pertama Anne bermula di meja makan. Melihat Helen yang tidak beradab dengan mengambil dan memakan makanan dari pinggan orang lain Anne terus menghalang Helen dan Helen memberontak sehingga memecahkan pinggan mangkuk di atas meja. Anne masih tidak mahu memberinya makan sehingga dia beradab di meja. Ini
memberi tekanan kepada ibubapa Helen kerana mereka merasakan cara Anne terlalu kasar dan kejam. Bagi mereka kasih sayang itu adalah dengan memanjakan Helen dan memenuhi kehendaknya. Anne memberikan kata dua kepada ibubapa Helen supaya tidak mencampuri urusannya dengan Helen.

Sifat Anne yang degil, keras dan tegas memang kena dengan Helen seumpama buku bertemu ruas. Bapa Helen tidak sanggup melihat anaknya diperlakukan begitu keras dan mahu memecat Anne tetapi dipujuk isterinya supaya memberi masa lagi. Anne menegur layanan manja diberikan ibubapa Helen kepada anaknya. Kerana dimanjakan berlebihan itulah Helen tidak mampu untuk berdikari dan seterusnya akan hanya bergantung hidup pada ibubapa. Anne umpamakan perangai Helen lebih buruk dari perangai haiwan peliharaan
dan kecacatan yang ada pada keluarga Helen itu lebih besar dari kecacatan yang Helen hadapi. Kata-kata Anne mengguris hati ibubapa Helen tetapi mereka masih memberi peluang untuk Anne meneruskan usahanya mendidik Helen. Anne berkata demikian kerana pengalaman masa kecilnya yang memanjakan adik lelakinya menyebabkan adiknya menjadi
seorang yang penakut dan sentiasa hidup di bawah ketiaknya.

Anne meminta kebenaran untuk dia duduk berdua dengan Helen di sebuah rumah di ladang keluarga Helen kerana ini akan memudahkannya mengajar Helen dengan lebih baik kerana Helen hanya akan bergantung hidup pada Anne tanpa kehadiran ibubapanya. Dengan berat hati mereka memberikannya dua minggu sahaja. Walaupun masa diperuntukkan terlalu
pendek Anne terpaksa mengikut juga.

Anne menggunakan sifat marah dan sifat bijak yang ada pada diri Helen untuk mengawal dan mengajar. Helen tidak akan diberikan ganjaran jika tidak mengikut kata Anne. Helen cepat menangkap ejaan-ejaan isyarat tangan yang diajar Anne tetapi masih tidak mampu untuk menghubungkannya dengan benda-benda yang dipegang. Contoh; Helen
menyentuh anjing dan Anne mengejakannya itu "dog" pada tangan Helen tetapi Helen mengejanya "water". Jika hendak makan diejanya "cake" dan dia tidak mengerti "cake" itu sebagai kek dan inilah yang tidak dapat ditangkap oleh Helen dan menjadikan Anne buntu tetapi masih tidak putus asa untuk terus berusaha sehinggalah tarikhnya sudah tamat.

Apabila kembali ke rumah semula Helen menunjukkan sikap lamanya yang biadap di meja makan yang sebelum ini diikuti dengan baik semasa di bawah penjagaan Anne di rumah terpencil itu. Ini menyebabkan Anne kecewa dan marah pada ibubapa Helen yang tidak memberikan masa yang lebih panjang kepadanya untuk mendidik Helen. Anne dengan kasar dan biadapnya juga menghalang Helen dari memakan makanannya tetapi didesak oleh ibubapa dan nenek Helen supaya jangan mengganggu Helen. Tetapi akhirnya ibu Helen merasakan apa yang di buat Anne betul dan dibenarkan Anne membuat apa sahaja terhadap Helen. Ketika itulah Anne mendukung Helen bersama dengan jag air dan menyuruh Helen mengepam air untuk diisi ke dalam jag yang ditumpahkannya di meja makan. Anne
mengajar memegang pam dan mengeja perkataan pam dan memegang air dan mengeja perkataan air. Di saat inilah Allah turunkan ilham pada Helen makna hubungan perkataan "water" itu dengan air yang disentuh. Detik itulah bermulanya kehidupan baru pada Helen Keller.

Jika sesiapa yang menonton cerita ini sudah pasti tidak akan terhenti di situ sahaja bahkan ia memberi motivasi kepada kita untuk mencari cerita selanjutnya tentang dua manusia hebat ini. Mengikut sejarah Anne Sullivan telah menjadi guru, mentor dan sahabatnya sehingga ke akhir hayat Anne. Dan Anne juga mengajar Helen bercakap dengan
menggunakan cara "Tadoma" iaitu dengan menggunakan sentuhan bibir dan getaran kerongkong pada orang lain ketika bercakap.

Sejarah hidup mereka berdua telah menjadi pedoman hidup beribu-ribu manusia yang cacat sebagai kekuatan melawan kecacatan fizikal dan juga pedoman kepada kita yang sempurna fizikal tetapi cacat jiwa.

Tidak rugi untuk membeli cd ini untuk dijadikan koleksi dan ditonton bersama keluarga dan tidak rugi juga untuk diberikan hadiah kepada anak, murid-murid dan guru serta sesiapa sahaja kerana motivasi sejarah ini mungkin dapat menghidupkan semula jiwa kita yang tidur. Inilah salah satu filem terhebat yang pernah aku tonton. Adios!!.

No comments: