Wednesday, April 23, 2008

Ulasan drama Kantonis : Summer Snow

Drama ini ditayangkan di tv2 bulan Oktober 2006. Secara tidak sengaja aku tertengok dan disebabkan ceritanya lain daripada yang lain maka sukalah aku untuk membuat ulasannya di sini sebagai kenang-kenangan.


Cerita ini berkenaan satu keluarga yang hidup sederhana dan duduk di kawasan seperti setinggan terdiri daripada ibu bapa, anak menantu dan seorang cucu remaja lelaki. Dua peranan yang menjadikan cerita ini menarik ialah peranan menantu dan bapa mertua. Dalam cerita ini ditonjolkan menantu perempuan sebagai hero. Bekerja di sebuah syarikat membuat tisu tandas sebagai kerani kanan cum pegawai yang komited dan pada masa yang sama memainkan peranan sebagai isteri/ibu dan tanggungjawab selebihnya ialah menjaga ibu dan bapa mertua.

Kadang-kadang semua tugasan itu mencabar kesabaran diri dia kerana dia merasakan suaminya telah memberi bebanan keluarga ke atasnya selepas kematian ibu mertuanya. Yang paling menguji kesabarannnya ialah masalah bapa mertuanya yang mengidap penyakit dementia iaitu sejenis penyakit hilang ingatan dan tidak mampu mengawal diri atau membuat sebarang keputusan. Segala peelnya seperti kebudak-budakan. Sentiasa perlu diperhatikan kerana bapa mertuanya selalu menghilangkan diri dari rumah. Iyelah macam budak-budak umur 2, 3 tahun kalau terlepas mana dia ingat apa semuanya dia redah. Sepanjang masa nak makan, kencing merata-rata dan nak mandi pun kena orang mandikan.

Cerita ini tidak menyedihkan sebab tidak ada air mata yang mengalir pada watak hero ini. Ia lebih menonjolkan kecekalan dan keceriaan si hero. Inilah watak hero perempuan yang kita perlukan dalam cerita-cerita melayu. Banyak juga babak-babak kelakar seperti bapa mertuanya memakan roti dengan bersandwichkan sebuku sabun mandi yang disangkanya mentega. Untuk mengelakkan keracunan mereka memaksa bapanya meminum minyak masak dengan menonggang ke dalam mulutnya tetapi belum sempat masuk ke mulut bapanya yang berbadan tegap itu pula telah menonggang botol minyak itu ke dalam mulut cucunya yang berusia dalam lingkungan 20 tahun. Antara babak-babak kelakar lain ialah bapanya berdiri di tengah jalan dan menghalang kenderaan yang melalu lintas, masa upacara penghormatan ke atas mayat isterinya dia telah mengambil angsa goreng yang diletak disebelah keranda untuk dimakan, memukul anak lelakinya kerana menyangka anaknya pencuri dengan alasan anaknya berjalan perlahan-lahan dan tidak memakai kasut di dalam rumah. Babak yang paling best ialah semasa menantu dan cucunya memandikan dia. Apabila menantunya suruh dia menyabun di bahagian paling penting dia menyabunnya di telinga bukan setakat itu diberusnya lagi telinga menggunakan berus badan.

Peranan suami dalam drama ini juga menarik. Suaminya bekerja sebagai penguji pemandu macam driver test JPJ. Seorang yang berpewatakan lembut tetapi memek mukanya serius. Anak yang taat dan suami yang baik. Tidak pernah meninggikan suara kepada bapanya tetapi hampir-hampir melelehkan air mata kerana tidak tahan melihat bapanya yang ditinggalkan sementara di pusat jagaan orang tua pada waktu siang. Ada satu babak dia meninggikan suara pada isterinya kerana terlalu tertekan dengan masalahnya sendiri tetapi yang menariknya isterinya boleh melawan balik tanpa ada perasaan sedih atau kasihan yang akhirnya suaminya terpaksa menurut kata isterinya. Rasa kelakar babak ni kerana isterinya begitu bersahaja semasa menjawab kata-kata suaminya ambil menyuruh suaminya membersihkan najis-najis bapanya dilantai dan tidak menampakkan ianya satu penderhakaan tetapi menampakkan kefahaman di antara suami isteri.

Dalam cerita ini banyak dipaparkan babak-babak kasih sayang sesama ahli keluarga yang ditonjolkan dengan perbuatan dan memek muka. Kasih sayang suami isteri juga ditonjolkan dengan kata-kata dan memek muka tanpa perlu ada pelakuan pegang-pegangan dan peluk-pelukan macam filem melayu. Cukup sahaja dengan senyuman di antara dua pasangan yang hidup setiap hari dengan muka yang penuh tekanan sudah cukup untuk memaparkan suasana romantik itu dengan diimbas kata-kata manis zaman bercinta dahulu.

Mempunyai anak remaja lelaki yang mendengar kata dan menyayangi ibu bapa dan datuk juga amat menarik dalam cerita ini. Menarik apabila melihat remaja ini mengambil datuknya balik setiap petang dari rumah orang tua dan memandikan datuknya. Walaupun dia pun tertekan dia tidak menunjukkannya tetapi dengan nada biasa dia cuma meluahkan pada bapanya dan berharap bapanya di masa tua nanti tidak menjadi seperti datuknya dan katanya biarlah mati cepat jangan menyusahkan dia pula. Kata-kata yang dikeluarkan remaja ini kepada bapanya bukanlah kasar tetapi normal dan dengan roman muka yang biasa tanpa ada sebarang perasaan langsung tidak menggoreskan perasaan bapanya.

Kembali kepada watak hero tadi dia bukan sahaja bermasalah di rumah malah di pejabat juga. Selama ini dialah yang menyediakan invoice, kontrak, bil,temu janji,laporan dan sebagainya untuk syarikat-syarikat yang berurusniaga dengan mereka secara manual tetapi kerjanya telah dipermudahkan lagi dengan seorang kehadiran seorang pekerja baru wanita dengan mencadangkan penggunaan komputer untuk menyimpan segala dokumen. Dia merasa sedikit tergugat tetapi masih optimis dengan kerjanya sendiri walaupun bossnya semakin hari menolak cara biasa yang dia lakukan.

Di akhir-akhir cerita hero ini ingin meletakkan jawatan dan ingin menumpukan sepenuh masa bersama keluarga tetapi ditolak oleh bossnya dan hanya diberikan cuti selama 2 bulan kerana bossnya baru tahu nilai kerja manual yang dilakukan oleh hero ini tidak boleh dipandang rendah kerana tiba hari dia hendak meletakkan jawatan komputer-komputer di pejabat telah rosak dan segala inbois pelanggan tidak ada dalam fail manual sehingga pening semua pekerja. Hero inilah yang telah menyelamatkan keadaan dengan hanya bertanyakan nama pelanggan dan dia terus boleh mengingati butir-butir inbois yang diperlukan oleh pelanggan tanpa merujuk kepada fail-fail manual merupakan satu sindiran kepada mereka yang taksub dengan teknologi.

Walaupun di akhir cerita ini kematian berlaku pada bapa mertuanya tetapi suasana kebahagiaan dan keceriaan ditonjolkan juga dengan semangat bapa mertuanya yang terus hidup.

Aku bagi 5 bintang untuk drama berat ini. Memang best kerana watak hero wanita yang kekampungan, kelakar, cekal, bersemangat waja dan tidak mengeluh dengan kesukaran hidup dilalui sangat-sangat bersahaja. Inilah watak yang hidup tanpa perlu terikat dengan skrip-skrip kaku. Adioss!!

Tuesday, April 22, 2008

Ulasan drama Inggeris : The Miracle Worker



Pertama kali aku menonton cerita ini di sebuah kedai makan waktu petang dalam pukul 6:00 hari Ahad dan ditayangkan tv3 tiga tahun yang lepas. Aku dengan kawan-kawan aku boleh melangut tengok sampai habis cerita tu. Bukan kami sahaja pekerja-pekerja kedai makan dan bossnya juga melangut sama. Biasanya orang melangut tengok filem aksi ini
melangut tengok filem zaman 1880an yang kostum pakaian orang putih ketika itu sangat
bersopan dan masih tinggi nilai moralnya. Kalau orang yang tak berapa reti tengok drama berat dan tak suka tengok cerita klasik macam kawan-kawan aku boleh melangut, kira hebatlah aura filem ni dan diberitakan juga drama ini selalu dilakonkan semula di sekolah-sekolah di Amerika.

Siapa yang tidak kenal Helen Keller antara manusia hebat yang dijadikan Allah di atas muka bumi ini. Seorang yang buta,pekak dan bisu tetapi berjaya menjadi seorang penulis, aktivis dan pensyarah yang termahsyur. Tidak terungkai di fikiran kita bagaimana hidup orang yang sebegitu rupa tetapi inilah hakikatnya kebesaran Allah. Setiap kekurangan sebenarnya ada kelebihan dan hikmah yang sangat besar.

Filem ini bukan sahaja berkenaan Helen Keller tetapi isi terpenting di dalam filem ini berkenaan orang yang bertanggungjawab mencetuskan inspirasi kejayaan kepada Helen iaitu Anne Sullivan sebab itulah tajuknya diberikan "The Miracle Worker".

Kisah berlaku di tahun 1890an di Alabama, A.S. Helen seorang anak yang bijak dan ketika itu berumur dalam lingkungan 7 tahun menghadapi masalah komunikasi dengan ibubapanya. Ini menyebabkan Helen kecewa kerana sukarnya dia hendak menyuarakan kehendak isi hati dan kesunyian serta kegelapan yang menyelubungi dirinya menjadi punca Helen meluahkannya dalam bentuk keganasan. Dan sikap ganas dan barannya
tidak dapat dikawal langsung oleh ibubapanya. Tekanan yang diberikan Helen kepada ibubapanya menyebabkan ibubapanya mencari pertolongan dari Institut Orang-orang Buta Perkins setelah dinasihatkan oleh seorang doktor.Institut Perkins telah menghantar pelajar terbaiknya Anne Sullivan untuk mendidik Helen. Anne Sullivan adalah seorang rabun yang hampir buta matanya juga. Tetapi semangat percaya kepada diri sendiri dia tidak menganggapnya sebagai kekurangan malah yakin dia mampu membantu Helen.

Di rumah, keluarga Helen tidak begitu percaya dengan kemampuan Anne kerana dia juga cacat penglihatan. Kerja pertama Anne bermula di meja makan. Melihat Helen yang tidak beradab dengan mengambil dan memakan makanan dari pinggan orang lain Anne terus menghalang Helen dan Helen memberontak sehingga memecahkan pinggan mangkuk di atas meja. Anne masih tidak mahu memberinya makan sehingga dia beradab di meja. Ini
memberi tekanan kepada ibubapa Helen kerana mereka merasakan cara Anne terlalu kasar dan kejam. Bagi mereka kasih sayang itu adalah dengan memanjakan Helen dan memenuhi kehendaknya. Anne memberikan kata dua kepada ibubapa Helen supaya tidak mencampuri urusannya dengan Helen.

Sifat Anne yang degil, keras dan tegas memang kena dengan Helen seumpama buku bertemu ruas. Bapa Helen tidak sanggup melihat anaknya diperlakukan begitu keras dan mahu memecat Anne tetapi dipujuk isterinya supaya memberi masa lagi. Anne menegur layanan manja diberikan ibubapa Helen kepada anaknya. Kerana dimanjakan berlebihan itulah Helen tidak mampu untuk berdikari dan seterusnya akan hanya bergantung hidup pada ibubapa. Anne umpamakan perangai Helen lebih buruk dari perangai haiwan peliharaan
dan kecacatan yang ada pada keluarga Helen itu lebih besar dari kecacatan yang Helen hadapi. Kata-kata Anne mengguris hati ibubapa Helen tetapi mereka masih memberi peluang untuk Anne meneruskan usahanya mendidik Helen. Anne berkata demikian kerana pengalaman masa kecilnya yang memanjakan adik lelakinya menyebabkan adiknya menjadi
seorang yang penakut dan sentiasa hidup di bawah ketiaknya.

Anne meminta kebenaran untuk dia duduk berdua dengan Helen di sebuah rumah di ladang keluarga Helen kerana ini akan memudahkannya mengajar Helen dengan lebih baik kerana Helen hanya akan bergantung hidup pada Anne tanpa kehadiran ibubapanya. Dengan berat hati mereka memberikannya dua minggu sahaja. Walaupun masa diperuntukkan terlalu
pendek Anne terpaksa mengikut juga.

Anne menggunakan sifat marah dan sifat bijak yang ada pada diri Helen untuk mengawal dan mengajar. Helen tidak akan diberikan ganjaran jika tidak mengikut kata Anne. Helen cepat menangkap ejaan-ejaan isyarat tangan yang diajar Anne tetapi masih tidak mampu untuk menghubungkannya dengan benda-benda yang dipegang. Contoh; Helen
menyentuh anjing dan Anne mengejakannya itu "dog" pada tangan Helen tetapi Helen mengejanya "water". Jika hendak makan diejanya "cake" dan dia tidak mengerti "cake" itu sebagai kek dan inilah yang tidak dapat ditangkap oleh Helen dan menjadikan Anne buntu tetapi masih tidak putus asa untuk terus berusaha sehinggalah tarikhnya sudah tamat.

Apabila kembali ke rumah semula Helen menunjukkan sikap lamanya yang biadap di meja makan yang sebelum ini diikuti dengan baik semasa di bawah penjagaan Anne di rumah terpencil itu. Ini menyebabkan Anne kecewa dan marah pada ibubapa Helen yang tidak memberikan masa yang lebih panjang kepadanya untuk mendidik Helen. Anne dengan kasar dan biadapnya juga menghalang Helen dari memakan makanannya tetapi didesak oleh ibubapa dan nenek Helen supaya jangan mengganggu Helen. Tetapi akhirnya ibu Helen merasakan apa yang di buat Anne betul dan dibenarkan Anne membuat apa sahaja terhadap Helen. Ketika itulah Anne mendukung Helen bersama dengan jag air dan menyuruh Helen mengepam air untuk diisi ke dalam jag yang ditumpahkannya di meja makan. Anne
mengajar memegang pam dan mengeja perkataan pam dan memegang air dan mengeja perkataan air. Di saat inilah Allah turunkan ilham pada Helen makna hubungan perkataan "water" itu dengan air yang disentuh. Detik itulah bermulanya kehidupan baru pada Helen Keller.

Jika sesiapa yang menonton cerita ini sudah pasti tidak akan terhenti di situ sahaja bahkan ia memberi motivasi kepada kita untuk mencari cerita selanjutnya tentang dua manusia hebat ini. Mengikut sejarah Anne Sullivan telah menjadi guru, mentor dan sahabatnya sehingga ke akhir hayat Anne. Dan Anne juga mengajar Helen bercakap dengan
menggunakan cara "Tadoma" iaitu dengan menggunakan sentuhan bibir dan getaran kerongkong pada orang lain ketika bercakap.

Sejarah hidup mereka berdua telah menjadi pedoman hidup beribu-ribu manusia yang cacat sebagai kekuatan melawan kecacatan fizikal dan juga pedoman kepada kita yang sempurna fizikal tetapi cacat jiwa.

Tidak rugi untuk membeli cd ini untuk dijadikan koleksi dan ditonton bersama keluarga dan tidak rugi juga untuk diberikan hadiah kepada anak, murid-murid dan guru serta sesiapa sahaja kerana motivasi sejarah ini mungkin dapat menghidupkan semula jiwa kita yang tidur. Inilah salah satu filem terhebat yang pernah aku tonton. Adios!!.

Tuesday, April 15, 2008

Perbincangan yang mengubah paradigma aku

Huh...tajuk macam siut.Sebenarnya dah lama aku tidak menulis di blog ini. Hendak dikatakan sibuk memang tidak pun tapi mungkin aku tiada idea untuk menulis dan mungkin juga aku terlalu sibuk memikirkan masalah sendiri. Hanya memikir masalah tanpa memikirkan penyelesaian. Buang masa. Hari ini aku kembali menulis kerana aku hendak bercerita tentang satu topik perbincangan yang dibincangkan di TV1 pada hari Ahad dan tajuknya berkenaan watak wanita di dalam drama/filem. Dua ahli panel jemputan iaitu Salmiah Ismail dari Dewan Bahasa dan Pustaka dan Faisal Tehrani penulis novel yang semakin terkenal.

Yang membuat aku tertarik untuk menulis di sini adalah disebabkan cerita-cerita novel dan cerpen yang diangkat masuk ke dalam drama atau filem. Adalah sesuatu yang menarik dan satu kelainan apabila pembikin drama/filem Malaysia menterjemahkan cerita novel ke dalam kaca tv tetapi dengan syarat kualiti novel tersebut adalah tinggi. Aku tidak menonton drama "Cahaya pada hati" yang katanya telah ditayangkan di tv beberapa hari sebelum perbincangan ini berlangsung. Diharapkan pihak RTM dapat menayang semula drama tersebut yang berkisar tentang seorang lelaki baik yang hidup sederhana dan mempunyai masalah kewangan dan keluarga tetapi cuba untuk menjadi jahat dengan membabitkan diri dengan rasuah tetapi akhirnya menukar niatnya semula. Walaupun beberapa sedutan drama itu ditayang tetapi aku sudah rasa ia satu cerita yang sangat menarik terutama satu babak yang menunjukkan Nasir Bilal Khan keluar dari kereta dan terus melutut di kawasan yang bertanah dan tangannya mengambil segenggam tanah dan memakannya sambil menangis teresak-esak.

Apabila pengacara bertanya pada Salmiah tentang babak tersebut, Salmiah berkata memang Nasir makan tanah yang betul. Aku berasa teruja melihat babak itu dan menurut penulis cerpen "Cahaya pada hati" iaitu Faisal Tehrani, kisah makan tanah ini dimuatkan dalam ceritanya sebab beliau pernah mendengar sabda nabi yang berbunyi lebih baik makan tanah daripada terbabit dengan rasuh (maaf betulkan aku berkenaan dengan sabda nabi ini jika ada yang tidak betul takut penyampaian yang aku sampaikan tidak menepati maksud Faisal). Apabila digarap cerpen sebegini ke dalam drama ia menjadi sesuatu yang meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa. Memang masyarakat kita perlu dididik dengan drama-drama yang sebegini cukuplah sudah dengan drama cinta melayu, cerita korporat melayu dan cerita memburukkan orang-orang alim yang memualkan tanpa ada sebarang kesan atau motif untuk pendidikan jiwa. Aku tertarik juga dengan seorang pemanggil yang bernama Muthu, walaupun dia tidak fasih berbahasa Melayu dan loghat tamilnya tebal tetapi yang terharunya apabila dia memberitahu dia hendak melihat lagi cerita-cerita sebegini ditayangkan. Tabiklah Muthu.

Di akhir-akhir perbincangan itu Faisal telah menunjukkan beberapa koleksi buku novel beliau yang mengangkat wanita sebagai satu hero yang kuat dari sudut emosi dan jiwa dan mengembangkan lagi kata-kata "tangan yang menghayun buaian mampu menggegarkan dunia". Laa...rupanya dia novelist ternama. Sudah banyak kali aku melintasi buku-buku beliau di kedai-kedai buku tetapi aku langsung tidak ada hati untuk membelinya bahkan aku pernah berjumpa dengan Faisal tetapi aku tidak teringin untuk mengenalinya kerana aku menganggap beliau sebagai penulis novel picisan. Tetapi selepas rancangan itu aku sedikit teruja untuk mengubah sedikit pembacaan ke novel pula. Sasaran novel aku yang pertama ialah 1515 karya Faisal Tehrani yang telah memenangi hadiah utama novel remaja. Terima kasih untuk semua yang terbabit dengan topik perbincangan di TV1 pada hari Ahad lepas kerana topiknya sangat menarik dan ahli-ahli panelnya juga menarik. Adiosss!!!

Wednesday, April 02, 2008

3 Mac tarikh bersejarah

Tanggal 3 Mac 08 satu tarikh yang amat bahagia dalam hidup aku sebab apa tau? Sebab pembangkang berjaya menawan 5 negeri hakikatnya 6 termasuk Wilayah Persekutuan. Aku mengundi di kawasan Gombak , ADUNnya Dr. Hassan Ali Parlimennya Azmin Ali. Datang pukul 4:45 ptg dengan memakai baju warna kuning lambang BERSIH utk hari Sabtu sambil memberikan IC lama pada petugas SPR dengan beralamat tertera di situ Teluk Intan, Perak aku terus masuk ke dalam dan memangkah kedua2 nama tersebut. Aku terlupa nak tengok siapa calon BN. Aku tunggu juga kalau SPR nak tanya aku ni pengundi hantu ke tapi tak ditanya. Aku tunggu juga dia tanya kenapa tak tukar IC baru tapi tak juga ditanya. Kalau dia tanya memang dia kena sembur. Aku takkan tukar selagi tak diwajibkan tukar dan aku hendak menjadi rakyat Malaysia yang terakhir menukar IC. Ada peluang masuk Guiness record ape..!

Pukul 7:00pm terus dapat berita pertama dari kawan katanya kawasan Gombak BA dah tawan. Aku terkejut menepuk2 tangan sampai senyum naik ke telinga. Masa tu aku kat office dengan kengkawan semuanya bersorak. 15 minit selepas itu dapat berita dari kawasan Titiwangsa Dr. Lo'lo menang bergema lagi office aku. Masing2 mencari pembekal maklumat terkini yang bestnya orang2 teknikal office aku standby kat pusat SPR. Tak payah tunggu TV yg slow tu. Di tambah lagi maklumat terkini dari Malysiakini website. Berlumba2 kami memberi maklumat diikuti dengan berita jatuhnya Shahrizat, berita Kelantan ditawan 42/45. Tak putus2 hp berdering2 bertanyakan berita. Yang tak terkira seronoknya bila dapat tahu orang2 yang glamer kalah. Org SPR yang standby kat office aku pun bersorak gembira bila keluar nama2 BA.

Pukul 10pm Penang ditawan, seterusnya Kedah dan masa itu dijangkakan Terengganu dan Perlis akan ditawan tapi hampa. Terubat pula dengan berita mengejut Perak dan Selangor ditawan. Punyalah terlalu gembira sampai tak sedar aku duduk di office sampai 4 pagi. Balik rumah tunggu solat Subuh dan esoknya aku belanjeng semua kengkawan termasuklah yang tak layak jadi rakyat Msia (sebab tak ngundi). Dua minggu berturut-turut orang sekeliling cakap pasal politik. Yang tak reti politik pun terus minat politik yang tak mengundi pun menyibuk nak bercerita. Apa-apa pun undi bukan lagi rahsia....Adioss!!