Wednesday, April 23, 2008

Ulasan drama Kantonis : Summer Snow

Drama ini ditayangkan di tv2 bulan Oktober 2006. Secara tidak sengaja aku tertengok dan disebabkan ceritanya lain daripada yang lain maka sukalah aku untuk membuat ulasannya di sini sebagai kenang-kenangan.


Cerita ini berkenaan satu keluarga yang hidup sederhana dan duduk di kawasan seperti setinggan terdiri daripada ibu bapa, anak menantu dan seorang cucu remaja lelaki. Dua peranan yang menjadikan cerita ini menarik ialah peranan menantu dan bapa mertua. Dalam cerita ini ditonjolkan menantu perempuan sebagai hero. Bekerja di sebuah syarikat membuat tisu tandas sebagai kerani kanan cum pegawai yang komited dan pada masa yang sama memainkan peranan sebagai isteri/ibu dan tanggungjawab selebihnya ialah menjaga ibu dan bapa mertua.

Kadang-kadang semua tugasan itu mencabar kesabaran diri dia kerana dia merasakan suaminya telah memberi bebanan keluarga ke atasnya selepas kematian ibu mertuanya. Yang paling menguji kesabarannnya ialah masalah bapa mertuanya yang mengidap penyakit dementia iaitu sejenis penyakit hilang ingatan dan tidak mampu mengawal diri atau membuat sebarang keputusan. Segala peelnya seperti kebudak-budakan. Sentiasa perlu diperhatikan kerana bapa mertuanya selalu menghilangkan diri dari rumah. Iyelah macam budak-budak umur 2, 3 tahun kalau terlepas mana dia ingat apa semuanya dia redah. Sepanjang masa nak makan, kencing merata-rata dan nak mandi pun kena orang mandikan.

Cerita ini tidak menyedihkan sebab tidak ada air mata yang mengalir pada watak hero ini. Ia lebih menonjolkan kecekalan dan keceriaan si hero. Inilah watak hero perempuan yang kita perlukan dalam cerita-cerita melayu. Banyak juga babak-babak kelakar seperti bapa mertuanya memakan roti dengan bersandwichkan sebuku sabun mandi yang disangkanya mentega. Untuk mengelakkan keracunan mereka memaksa bapanya meminum minyak masak dengan menonggang ke dalam mulutnya tetapi belum sempat masuk ke mulut bapanya yang berbadan tegap itu pula telah menonggang botol minyak itu ke dalam mulut cucunya yang berusia dalam lingkungan 20 tahun. Antara babak-babak kelakar lain ialah bapanya berdiri di tengah jalan dan menghalang kenderaan yang melalu lintas, masa upacara penghormatan ke atas mayat isterinya dia telah mengambil angsa goreng yang diletak disebelah keranda untuk dimakan, memukul anak lelakinya kerana menyangka anaknya pencuri dengan alasan anaknya berjalan perlahan-lahan dan tidak memakai kasut di dalam rumah. Babak yang paling best ialah semasa menantu dan cucunya memandikan dia. Apabila menantunya suruh dia menyabun di bahagian paling penting dia menyabunnya di telinga bukan setakat itu diberusnya lagi telinga menggunakan berus badan.

Peranan suami dalam drama ini juga menarik. Suaminya bekerja sebagai penguji pemandu macam driver test JPJ. Seorang yang berpewatakan lembut tetapi memek mukanya serius. Anak yang taat dan suami yang baik. Tidak pernah meninggikan suara kepada bapanya tetapi hampir-hampir melelehkan air mata kerana tidak tahan melihat bapanya yang ditinggalkan sementara di pusat jagaan orang tua pada waktu siang. Ada satu babak dia meninggikan suara pada isterinya kerana terlalu tertekan dengan masalahnya sendiri tetapi yang menariknya isterinya boleh melawan balik tanpa ada perasaan sedih atau kasihan yang akhirnya suaminya terpaksa menurut kata isterinya. Rasa kelakar babak ni kerana isterinya begitu bersahaja semasa menjawab kata-kata suaminya ambil menyuruh suaminya membersihkan najis-najis bapanya dilantai dan tidak menampakkan ianya satu penderhakaan tetapi menampakkan kefahaman di antara suami isteri.

Dalam cerita ini banyak dipaparkan babak-babak kasih sayang sesama ahli keluarga yang ditonjolkan dengan perbuatan dan memek muka. Kasih sayang suami isteri juga ditonjolkan dengan kata-kata dan memek muka tanpa perlu ada pelakuan pegang-pegangan dan peluk-pelukan macam filem melayu. Cukup sahaja dengan senyuman di antara dua pasangan yang hidup setiap hari dengan muka yang penuh tekanan sudah cukup untuk memaparkan suasana romantik itu dengan diimbas kata-kata manis zaman bercinta dahulu.

Mempunyai anak remaja lelaki yang mendengar kata dan menyayangi ibu bapa dan datuk juga amat menarik dalam cerita ini. Menarik apabila melihat remaja ini mengambil datuknya balik setiap petang dari rumah orang tua dan memandikan datuknya. Walaupun dia pun tertekan dia tidak menunjukkannya tetapi dengan nada biasa dia cuma meluahkan pada bapanya dan berharap bapanya di masa tua nanti tidak menjadi seperti datuknya dan katanya biarlah mati cepat jangan menyusahkan dia pula. Kata-kata yang dikeluarkan remaja ini kepada bapanya bukanlah kasar tetapi normal dan dengan roman muka yang biasa tanpa ada sebarang perasaan langsung tidak menggoreskan perasaan bapanya.

Kembali kepada watak hero tadi dia bukan sahaja bermasalah di rumah malah di pejabat juga. Selama ini dialah yang menyediakan invoice, kontrak, bil,temu janji,laporan dan sebagainya untuk syarikat-syarikat yang berurusniaga dengan mereka secara manual tetapi kerjanya telah dipermudahkan lagi dengan seorang kehadiran seorang pekerja baru wanita dengan mencadangkan penggunaan komputer untuk menyimpan segala dokumen. Dia merasa sedikit tergugat tetapi masih optimis dengan kerjanya sendiri walaupun bossnya semakin hari menolak cara biasa yang dia lakukan.

Di akhir-akhir cerita hero ini ingin meletakkan jawatan dan ingin menumpukan sepenuh masa bersama keluarga tetapi ditolak oleh bossnya dan hanya diberikan cuti selama 2 bulan kerana bossnya baru tahu nilai kerja manual yang dilakukan oleh hero ini tidak boleh dipandang rendah kerana tiba hari dia hendak meletakkan jawatan komputer-komputer di pejabat telah rosak dan segala inbois pelanggan tidak ada dalam fail manual sehingga pening semua pekerja. Hero inilah yang telah menyelamatkan keadaan dengan hanya bertanyakan nama pelanggan dan dia terus boleh mengingati butir-butir inbois yang diperlukan oleh pelanggan tanpa merujuk kepada fail-fail manual merupakan satu sindiran kepada mereka yang taksub dengan teknologi.

Walaupun di akhir cerita ini kematian berlaku pada bapa mertuanya tetapi suasana kebahagiaan dan keceriaan ditonjolkan juga dengan semangat bapa mertuanya yang terus hidup.

Aku bagi 5 bintang untuk drama berat ini. Memang best kerana watak hero wanita yang kekampungan, kelakar, cekal, bersemangat waja dan tidak mengeluh dengan kesukaran hidup dilalui sangat-sangat bersahaja. Inilah watak yang hidup tanpa perlu terikat dengan skrip-skrip kaku. Adioss!!

No comments: