Monday, December 30, 2013

Hotel Peach Blossom, Langkawi

27 Dec kami menyewa pula hotel Peach Blossom di Langkawi. Harga Standard room RM88. Hotel ini terletak berdekatan dengan kedai Haji Ismail Group di Kuah. Jalan kaki mungkin 10 minit. Hotel ini nampak masih baru beroperasi. Ini gambar hotelnya. Gambar bilik terlupa nak ambil hanya ambil video saja.

Hotel ini sedkiti terceruk. Sebelah kanan kawasan ini ialah perkampungan Melayu. Sebelah kiri pula jalan besar.

Nak masuk kena buka kasut.

Laluan belakang ke bilik kami. Kena buka kasut di luar.
 Pro
----
1. Bilik dan bilik air baru dan bersih
2. Pengelap kaki
3. Dua soket kuasa di kepala katil
4. Kasut tak boleh dibawa ke bilik
5. Wifi
6. Semua bilik di ground floor. Sesuai untuk OKU dan orang tua.

Kontra
--------
1. Bilik kecil rasa tak sepadan dengan harga
2. Tiada arah kiblat
3. Speaker TV membingitkan
4. Wifi hanya sampai pukul 12 malam.
5. Tiada cerek dan gelas.
6. Tidak diberi tuala dan sabun.

Ini video biliknya.
---------------------



The Leverage Business Hotel, Kuala Kedah

Kelmarin 26 Dec kami pergi ke Kuala Kedah. Sebenarnya bukan nak pergi ke Kuala Kedah tapi hendak ke Langkawi tapi tidur di Kuala Kedah. Kami tempah bilik melalui internet. Malas nak mencari secara manual...letih. Jadi kami pilihlah bilik standard di hotel yang ada tajuk bisnes. Saja nak merasa macam mana bisnes di Kuala Kedah. Harga Bilik standard room RM95 termasuk cukai bodoh. Kami duduk di bilik no. 235. Di sertakan gambar hotel dan bilik serta pro dan kontra.



Lobi











Pro
----
1. Astro
2. WIFI
3. Sachet nescafe
4. Pengering rambut

Kontra
--------
1. Bilik air dia boleh nampak bayang2 badan bila buat aktiviti sulit.
2. Pancur air dia atas shiling.
3. Lantai bilik air seperti dah lama tak sental.
4. Tiada almari, peti ais mini, seterika.
5. Tiada lif. Bilik bermula di tingkat 1
6. Pelayan kaunter tak mesra pelanggan. Masam mencuka.


Ini video bilik.
-----------------





Thursday, December 12, 2013

Hotel Chua Gin, Cameron Highland

Baru ini 29 Nov 2013, Aku bersama dua orang kawan aku  pergi ke Cameron lagi. Bertolak naik dari Simpang Pulai pukul 4:00 pagi dan sampai di Masjid Brinchang betul2 azan subuh sedang berkumandang. Sebelum naik kami tidur sekejap di RnR Tapah dan di tol Simpang Pulai. Konon nak bergerak naik selepas subuh di Simpang Pulai tapi rasa rugi masa pula.

Sepanjang perjalanan naik hujan turun renyai-renyai dan kenderaan yang kami nampak hanya lori-lori kecil yang boleh di bilang dengan sebelah jari tangan saja. Seronok bila buka tingkap dan rasa kesejukan angin pagi beserta hujan tersangat damai dan menusuk ke tulang sulbi. Di tempat-tempat tertentu kabus amat tebal sehingga jarak penglihatan terhad.

Semasa di Masjid Brinchang datang seorang lelaki beramah mesra dengan kami. Namanya Ghazali Muda seorang peladang yang berjaya dan juga seorang backpacker yang telah banyak merantau ke merata negara. Dia terkejut bila tahu kami naik pukul 4:00 pagi. Dia  pun berkongsi sikit pengalaman dia menjadi backpakers dan sejarah pekerjaannya  Ini blognya http://www.gmpeladang.com.my . InsyaAllah satu hari nanti kami  pergi ke ladangnya pula.

Selepas jalan2 sekejap di Brinchang dan Tanah Rata kami pun cari hotel murah di Brinchang. Selepas survey dua tiga hotel kami memilih Hotel Chua Gin kerana murah dan ada blok bilik yang baru. Terletak berhadapan stesen teksi Brinchang dekat dengan Balai Bomba dan Masjid Brinchang.

Hotel utamanya  bersebelahan bangunan oren. Gambar tak jelas sebab diambil dari dalam kereta. Hujan masa tu.

Ini bangunan bilik baru terletak di belakang hotel utama. Bilik kami di tingkat 2 nombor 902.

Harga:
Standard room yang ada balkoni : RM108 (waktu puncak). Hari biasa RM98.
Standard room tiada balkoni : RM98 (waktu puncak). Hari biasa tak tanya pula.

Standard room ini bukan sahaja ada katil queen sahaja tapi ada sekali katil lebih. Jadi sesuailah untuk
kami 3 orang tak payah berhimpit atas satu katil.

Pro
----
1. Murah dan bersih
2. Boleh masuk awal tanpa bayaran tambahan. Kami masuk pukul 10:00 pagi.
3. Ada tisu tandas, sabun, pemanas
4. Astro
5. Cerek dan gelas cuma tak ada teh uncang.
6. Pengelap kaki
7. WIFI
8.  Kipas
9.  Ada satu katil lebih
10. Dalam bilik air ada paip khas senang nak ambil wuduk.
11. Soket kuasa banyak. Tak salah ada lima soket.

Kontra
---------
1. Tak ada lif.
2. Semua bilik bermula di tingkat satu


Ada satu katil lebih di bawah tu




Paip air untuk ambil air wuduk

Ini video bilik.


Friday, December 06, 2013

Hotel Grand Margherita, Kuching

Selepas sehari duduk di Harbour View, Kami berpindah pula ke Hotel Grand Margherita. Juga tidak jauh dari Harbour View. Lokasinya di tebing sungai sahaja. Hotel ini untuk kelas perniagaan bertaraf mungkin 4 atau 5 bintang. Harga semalam untuk Superior Twin RM200. Itu harga promosi minit akhir di Internet. Harga termasuk sarapan pagi.

Pro
----
1. Bilik luas dan cantik
2. Apa yang tiada di Harbour View ada di Grand Margherita,
3. Sarapan buffet paginya sedap

Kontra
---------
1. Bilik airnya sedikit lama

Ini video biliknya.


Wednesday, December 04, 2013

Hotel Harbour View, Kuching

6 Oktober 2013 aku dan kawan aku terbang ke Kuching menghadiri seminar IPV6. Lokasi kami yang pertama ke Water Front tempat yang popular untuk orang luar dan masyarakat tempatan beristirehat. Kawasan Water Front  ini banyak hotel murah dan mahal berselerakan. Tidak menjadi masalah kepada sesiapa yang datang ke Kuching untuk mencari tempat menginap.

Seorang lelaki yang meniaga di tebing sungai mencadangkan kami duduk di John's Place bajet hotel. Harganya murah tak sampai RM70 dan masih baru katanya. Kami terus ke sana dan memang pun nampak baru dan aku meninjau biliknya yang sedang dikemas dan memang nampak luas dan bersih. Cuma aku tak berani untuk menginap di situ kerana di bawah hotel itu kedai makannya dipenuhi lelaki yang minum arak. Cara mereka pandang kami pun macam tak pernah jumpa manusia dan kawasan sekitarnya terasa sunyi dan tempatnya tersorok dari laluan jalan utama.

Untuk keselamatan diri kami menginap di  Harbour View hotel yang terletak bersebelahan dengan John's Place.



Harbour View Hotel. Gambar songlap dari web rasminya.



Harga standard room yang paling murah RM155. Harga bilik kami RM166 kerana mengadap sungai dan tiada sarapan pagi untuk harga ini. Aku teruskan saja pro dan kontra bilik ini.

Pro
----
1. Berdekatan dengan Water Front dan kedai-kedai souvenir.
2. Kebiasaan hotel bisnes (Wifi, tv satelit, peti ais mini, pengering rambut)

Kontra
--------
1. Bilik nampak lama dan  kecil
2. Katil rapat ke dinding.
3. Jangan terkejut ada bible dalam laci
4. Tak ada seterika (macam ini hotel untuk orang bisnes ?)
5. Saluran paip hendak cuci anu tak ada. Nak tarik paip mandi tak sampai. Terpaksalah guna gelas. Agaknya hotel ni khusus di buat untuk orang barat menginap.


Ini video bilik hotel tu.





Tuesday, July 23, 2013

Grand Puteri Hotel, Terengganu

Selepas keluar dari Pulau Kapas hari tu kami terasa letih untuk berjalan jauh lagi. Hasrat untuk ke Kelantan di batalkan. Kami bercadang menginap di Kuala Terengganu sahaja. Lepas solat Zohor di Masjid Putih dengan tak semena-mena kami ternampak banner hotel baru telah dibuka pada 15 April 2013 dengan harga promosi apa lagi kami pun ambil peluanglah menginap di hotel baru ini. Hotel ini terletak berdekatan stesen bas dan juga berdekatan Masjid Putih. Hotel ini ramai dengan orang-orang kerajaan.

Gambar Grand Puteri Hotel diambil dari kawasan parking hotel



Kaunter hotel
 Ruang legar hotel. Belakang sana tu cafe dia.



Harga promosi yang kami dapat ialah RM118 untuk bilik superior.  Ingat nak try bilik lain sebab kami bertiga tapi dah penuh. Tak tahu sampai bila promosinya.  Harga ini termasuk dengan sarapan pagi untuk dua orang. Ini harga setiap bilik.



Bawah ini  gambar bilik no.426 yang kami menginap:







Pro
----
1. Bilik baru tapi berhabuk sedikit.
2. Disediakan buku doa
3. Ada seterika, peti ais mini
4. Barang asas tisu bontot, shampoo,sabun semua ada.
5. Tap air panas ada
6. Channel tv ada astro
7. Internet boleh di akses guna wifi atau guna utp cable (minta dikaunter)
8. Hotel ada lif

Kontra
---------
1. Kalau ikut harga asal rasa macam mahal
2. Tak ada pengelap kaki di pintu bilik air. 
3. Sarapan pagi tak banyak menu. Rasa biasa sahaja cuma nasi lemaknya sedap. Yang pelik tak ada  nasi dagang.









Tuesday, July 09, 2013

Ulasan drama Inggeris The Miracle Worker


Pertama kali aku menonton cerita ini di sebuah kedai makan waktu petang dalam pukul 6:00 hari Ahad dan ditayangkan tv3 tiga tahun yang lepas. Aku dengan kawan-kawan aku boleh melangut tengok sampai habis cerita tu. Bukan kami sahaja pekerja-pekerja kedai makan dan bossnya juga melangut sama. Biasanya orang melangut tengok filem aksi ini
melangut tengok filem zaman 1880an yang kostum pakaian orang putih ketika itu sangat
bersopan dan masih tinggi nilai moralnya. Kalau orang yang tak berapa reti tengok drama berat dan tak suka tengok cerita klasik macam kawan-kawan aku boleh melangut, kira hebatlah aura filem ni dan diberitakan juga drama ini selalu dilakonkan semula di sekolah-sekolah di Amerika.

Siapa yang tidak kenal Helen Keller antara manusia hebat yang dijadikan Allah di atas muka bumi ini. Seorang yang buta,pekak dan bisu tetapi berjaya menjadi seorang penulis, aktivis dan pensyarah yang termahsyur. Tidak terungkai di fikiran kita bagaimana hidup orang yang sebegitu rupa tetapi inilah hakikatnya kebesaran Allah. Setiap kekurangan sebenarnya ada kelebihan dan hikmah yang sangat besar.

Filem ini bukan sahaja berkenaan Helen Keller tetapi isi terpenting di dalam filem ini berkenaan orang yang bertanggungjawab mencetuskan inspirasi kejayaan kepada Helen iaitu Anne Sullivan sebab itulah tajuknya diberikan "The Miracle Worker".

Kisah berlaku di tahun 1890an di Alabama, A.S. Helen seorang anak yang bijak dan ketika itu berumur dalam lingkungan 7 tahun menghadapi masalah komunikasi dengan ibubapanya. Ini menyebabkan Helen kecewa kerana sukarnya dia hendak menyuarakan kehendak isi hati dan kesunyian serta kegelapan yang menyelubungi dirinya menjadi punca Helen meluahkannya dalam bentuk keganasan. Dan sikap ganas dan barannya
tidak dapat dikawal langsung oleh ibubapanya. Tekanan yang diberikan Helen kepada ibubapanya menyebabkan ibubapanya mencari pertolongan dari Institut Orang-orang Buta Perkins setelah dinasihatkan oleh seorang doktor.Institut Perkins telah menghantar pelajar terbaiknya Anne Sullivan untuk mendidik Helen. Anne Sullivan adalah seorang rabun yang hampir buta matanya juga. Tetapi semangat percaya kepada diri sendiri dia tidak menganggapnya sebagai kekurangan malah yakin dia mampu membantu Helen.

Di rumah, keluarga Helen tidak begitu percaya dengan kemampuan Anne kerana dia juga cacat penglihatan. Kerja pertama Anne bermula di meja makan. Melihat Helen yang tidak beradab dengan mengambil dan memakan makanan dari pinggan orang lain Anne terus menghalang Helen dan Helen memberontak sehingga memecahkan pinggan mangkuk di atas meja. Anne masih tidak mahu memberinya makan sehingga dia beradab di meja. Ini
memberi tekanan kepada ibubapa Helen kerana mereka merasakan cara Anne terlalu kasar dan kejam. Bagi mereka kasih sayang itu adalah dengan memanjakan Helen dan memenuhi kehendaknya. Anne memberikan kata dua kepada ibubapa Helen supaya tidak mencampuri urusannya dengan Helen.

Sifat Anne yang degil, keras dan tegas memang kena dengan Helen seumpama buku bertemu ruas. Bapa Helen tidak sanggup melihat anaknya diperlakukan begitu keras dan mahu memecat Anne tetapi dipujuk isterinya supaya memberi masa lagi. Anne menegur layanan manja diberikan ibubapa Helen kepada anaknya. Kerana dimanjakan berlebihan itulah Helen tidak mampu untuk berdikari dan seterusnya akan hanya bergantung hidup pada ibubapa. Anne umpamakan perangai Helen lebih buruk dari perangai haiwan peliharaan
dan kecacatan yang ada pada keluarga Helen itu lebih besar dari kecacatan yang Helen hadapi. Kata-kata Anne mengguris hati ibubapa Helen tetapi mereka masih memberi peluang untuk Anne meneruskan usahanya mendidik Helen. Anne berkata demikian kerana pengalaman masa kecilnya yang memanjakan adik lelakinya menyebabkan adiknya menjadi
seorang yang penakut dan sentiasa hidup di bawah ketiaknya.

Anne meminta kebenaran untuk dia duduk berdua dengan Helen di sebuah rumah di ladang keluarga Helen kerana ini akan memudahkannya mengajar Helen dengan lebih baik kerana Helen hanya akan bergantung hidup pada Anne tanpa kehadiran ibubapanya. Dengan berat hati mereka memberikannya dua minggu sahaja. Walaupun masa diperuntukkan terlalu
pendek Anne terpaksa mengikut juga.

Anne menggunakan sifat marah dan sifat bijak yang ada pada diri Helen untuk mengawal dan mengajar. Helen tidak akan diberikan ganjaran jika tidak mengikut kata Anne. Helen cepat menangkap ejaan-ejaan isyarat tangan yang diajar Anne tetapi masih tidak mampu untuk menghubungkannya dengan benda-benda yang dipegang. Contoh; Helen
menyentuh anjing dan Anne mengejakannya itu "dog" pada tangan Helen tetapi Helen mengejanya "water". Jika hendak makan diejanya "cake" dan dia tidak mengerti "cake" itu sebagai kek dan inilah yang tidak dapat ditangkap oleh Helen dan menjadikan Anne buntu tetapi masih tidak putus asa untuk terus berusaha sehinggalah tarikhnya sudah tamat.

Apabila kembali ke rumah semula Helen menunjukkan sikap lamanya yang biadap di meja makan yang sebelum ini diikuti dengan baik semasa di bawah penjagaan Anne di rumah terpencil itu. Ini menyebabkan Anne kecewa dan marah pada ibubapa Helen yang tidak memberikan masa yang lebih panjang kepadanya untuk mendidik Helen. Anne dengan kasar dan biadapnya juga menghalang Helen dari memakan makanannya tetapi didesak oleh ibubapa dan nenek Helen supaya jangan mengganggu Helen. Tetapi akhirnya ibu Helen merasakan apa yang di buat Anne betul dan dibenarkan Anne membuat apa sahaja terhadap Helen. Ketika itulah Anne mendukung Helen bersama dengan jag air dan menyuruh Helen mengepam air untuk diisi ke dalam jag yang ditumpahkannya di meja makan. Anne
mengajar memegang pam dan mengeja perkataan pam dan memegang air dan mengeja perkataan air. Di saat inilah Allah turunkan ilham pada Helen makna hubungan perkataan "water" itu dengan air yang disentuh. Detik itulah bermulanya kehidupan baru pada Helen Keller.

Jika sesiapa yang menonton cerita ini sudah pasti tidak akan terhenti di situ sahaja bahkan ia memberi motivasi kepada kita untuk mencari cerita selanjutnya tentang dua manusia hebat ini. Mengikut sejarah Anne Sullivan telah menjadi guru, mentor dan sahabatnya sehingga ke akhir hayat Anne. Dan Anne juga mengajar Helen bercakap dengan
menggunakan cara "Tadoma" iaitu dengan menggunakan sentuhan bibir dan getaran kerongkong pada orang lain ketika bercakap.

Sejarah hidup mereka berdua telah menjadi pedoman hidup beribu-ribu manusia yang cacat sebagai kekuatan melawan kecacatan fizikal dan juga pedoman kepada kita yang sempurna fizikal tetapi cacat jiwa.

Tidak rugi untuk membeli cd ini untuk dijadikan koleksi dan ditonton bersama keluarga dan tidak rugi juga untuk diberikan hadiah kepada anak, murid-murid dan guru serta sesiapa sahaja kerana motivasi sejarah ini mungkin dapat menghidupkan semula jiwa kita yang tidur. Inilah salah satu filem terhebat yang pernah aku tonton. Adios!!.

Monday, July 08, 2013

TM Resort Tanjung Bungah, Pulau Pinang

Kali ini (1 Julai 2013) kami ke Pulau  Pinang dan bercadang hendak menginap di Batu Feringghi. Setelah melawat kawasan pantai dan chalet-chalet yang ada aku rasa tak berapa berkenan dengan chalet-chalet di kawasan Batu Feringghi ini. Kawasannya seperti perkampungan setinggan pula. Banyak pula lalat. Jadi kami bercadang nak menginap di tempat yang ekslusiflah kononnya. Tengah cari-cari tempat nak tidur ternampak papan tanda TM Resort. Apa lagi terus serbulah sebab  kawan aku yang ada sekali ini kerja dengan TM. Jadi dapatlah harga pekerja.  RM90 hari biasa dan RM110 hari luar biasa.  TM Resort ini dibuka untuk orang luar juga. Harga RM200 hari biasa dan RM250 hari luar biasa.  Setiap unit harganya sama.

Bahagian hadapan resort

Bahagian dalam resort. Boleh berendam tu.

Kalau tak cukup kolam dia silalah ke kolam lagi besar yg berada depan resort ni

Cafe sunyi sepi

Lobi pun sunyi sepi


Masa kami datang kawasan ini amat sunyi tiada penghuni lain. Hanya dua unit sahaja yang berpenghuni. Tapi aku suka sebab rasa macam TM resort  ini AKU YANG PUNYA. hehe. Setiap unitnya mengadap ke laut.

Aku menginap di unit 104.

Pro
----
1. Bilik ada dua. Katil queen satu dan katil single dua. Boleh sumbat seramai mungkin.
2. Bilik air dua. Tisu tandas disediakan, Ada tap air panas lagi.
3. Ada kitchen kabinet. Bawa dapur gas mini dan pinggan mangkuk kalau nak main masak-masak.
4. Ada sofa, tv, mini peti ais, cerek, aircond. Ruang tamu hanya kipas.
5. Soket kuasa merata-rata.
6.  Channel tv biasa. Tidak ada astro.

Kontra
---------
1. Pintu utama tak boleh kunci dari dalam. Guna selak saja. Tawakallah ya.
2. Flush tandas di dua bilik tak berfungsi. Kena angkat penutup air dia dan tarik flush dia dari dalam. Dahlah berat penutupnya kalau jatuh pecah kena kaki macam mana? Nak guna cara kuno simbah-simbah tak ada timba pula.
3. Pengelap kaki di bilik air tak ada.
4. Tak ada sachet. Beli sendiri.
5. Tak mesra OKU sebab tidak ada lif. Unit bermula di tingkat satu tiada unit di ground floor. 

Ini video bilik tu.



Food Court Pantai Batu Burok

Ini sambungan percutian dari Pulau Kapas hari tu. Selepas keluar dari Pulau Kapas kami singgah pula di Kuala Terengganu cari makan tengah hari. Kami makan di food court Pantai Batu Burok. Komen....tak sedap. Nasi diisi dalam kertas bungkusan dilapik dengan pinggan kertas. Macam mana nak ada selera nak makan. Kedai sebelah-sebelah pun berkira siap pesan lagi kalau dah makan hantar balik ke kedai asal. Air pun tak boleh pilih kedai kena beli dari kedai yang kita duduk. Kalau tengok peniaga-peniaga kedai ni tak tak tegur jiran kedai sebelah semua bawa hal masing-masing. Siap ada orang kedai tu cakap "saya tak campur orang lain". Baguslah tu patutlah tak maju kedai-kedai di sini.  Sesuai sangatlah nama pantai tu dengan perangai orang kedai di sini. Penuh dengan hasad dengki. Ingatkan di KL saja ada masalah macam ini di sini pun ada.  Nak cerita masa nak bayar kami tunjuklah terung yang kami makan ada ulat. bila tunjuk pada tokey kedai dia kata kita pun tak tahu ada ulat dalam tu. bila dah jawapan macam tu maksudnya memang tak ada diskaunlah ya. Dasar orang kemaruk duit dan dasar orang tak reti nak meniaga tapi nak meniaga juga macam tulah jawapan dia. Minta maaf pun tak nak. inilah gambar kedai yg kami makan tapi aku makan kedai sebelah dia. Sotong goreng kat tangan tu sedap yang lain-lain tak berapa. Moral ceritanya lain kali sila jangan makan di food court Pantai Batu Burok yang buruk tu. Adioss!!








Thursday, June 06, 2013

Restoran Haji Sharin Low, Sungai Merab.

Semalam 5 Jun pergi makan di Resotran Cina Haji Sharin Low di Sungai Merab,  area Bangi ke Kajang ke Putarajaya...entah. Ini kali kedua makan di sini.  Hari tu aku dan geng makan ala carte ambil sotong masak asam dan Kong Po Beef. Oklah rasa dua-dua masakan tu. Kali ini kami ambil Chi Choy Soup, Buttered Prawn dan Salted Egg Fried Squid. Rasa sup dia sangat sedap tapi Buttered Prawn dan Squid salted dia sangat mual. Cara masakan dia sangat berbeza dengan masakan cawangannya di Kota Damansara.  Bukan sahaja berbeza dengan cawangannya tapi berbeza dengan semua kedai masakan cina yang pernah kami pergi. Yang paling kami tak boleh terima ialah masakan sotongnya. Dua kali kami bertanya betulkah itu Salted Egg Fried Squid dan kenapa berbeza dengan masakan di cawangan lain? Pekerjanya di situ  menyatakan ia bergantung kepada tukang masak dan Haji Sharin sendiri yang hendakkan setiap cawangannya mempunyai rasa berlainan.

Berlainanlah sangat sampai tak sedap. Tak masuk akal kalau Haji Sharin minta sebegitu. Mana-mana restoran yang buka cawangan mestilah disebabkan rasa makanan di restoran asalnya sedap dan mahu cawagannya mempunyai rasa yang standard dengan yang asal. Kalau nak rasa berlainan baik letak nama lain. Tengok gambar sotong salted dia di bawah ni, macam sotong balut tepung. Rasanya pun tepung dan tawar. Tak ada pencicah. Ini ajelah satu gambar yang terasa nak ambil. Maaflah gambar tak cantik.



Bandingkan pula dengan sotong salted dia cawangan Kota Damansara di bawah ini. Rasanya sangat rangup dan pencicah cilinya pun sedap sehingga menjilat pinggan. Kan sangat berbeza masakan di atas dan di bawah.



Bawah ini pula Udang Buttered Nestum cawangan Kota Damansara. Nampak kerangupan dia. Memang sedap tak dinafikan. Tapi Udang Buttered di Sg. Merab sangat menhampakan. Udangnya besar tapi tekstur rasa tiada langsung. Malas nak tangkap gambar.



Pujian tetap diberikan pada pekerjanya yang melayan kami dengan baik. Semasa membayar pekerja kaunternya tanya bagaimana masakan restoran ini dan terus terang aku jawab tidak sedap melainkan sup. Dia senyum dan dia buat kesimpulan kami dah biasa dengan masakan Kota Damansara sebab itu tak biasa di sini. Tak kisahlah dia nak simpul apa tapi yang pasti sangat memang TAK SEDAP dan sangat mengecewakan. KECEWAnya sampai sekarang tak habis sebab tak berbaloi dengan harga yang dibayar dan pertama kali dalam sejarah kami makan makanan cina yang TAK SEDAP.  Ini harga yang kami makan untuk tiga orang semalam. Adioss!!.


Monday, June 03, 2013

Kapas Island Resort

Kali ini cuti2 Malaysia ke Pulau Kapas pula. 3H2M, tarikh 16-18Mei 2013 . Ini kali ke-3 aku ke sini. Aku suka pulau ni sebab ia sangat tenang. Orang tak ramai. Airnya pun cantik dan jernih. Di jeti Marang  pun kita boleh nampak ikan yang cantik2. Masa aku and the gang tengah tunggu bot untuk ke Pulau Kapas datang  kami dah boleh nampak ikan todak dan seekor anak penyu  di gigi air jeti Marang.

Sebelum ke sini aku telefon Kapas Coral Beach (KCB) tapi semua chaletnya dah penuh. Pilihan kedua aku Kapas Island Resort (KIR). Aku pernah menginap di sini sebelum ini dan aku memang suka chalet di sini sebab ia ada ruang persalinan dan tandasnya tidak sekali dengan ruang bilik tidur. KIR adalah antara chalet termahal di sini. KIR ini di rasmikan oleh Bekas PM Mahathir Mohammed pada 1992.

Aku menginap chalet seaview (chalet no.6) dengan harga RM200. Nama saja seaview tapi bukan mengadap laut pun berdekatan laut je. Katil 1 queen dan 1 single.  Kalau standard room RM150. Deluxe Garden View RM180.

Pro
----
1. Bilik tidur luas
2. Bilik air luas. Air paip mandi laju.
3. Ada ruang persalinan
4. Bilik air tersorok dari ruang tidur
5. Aircon
6. Ada balcony
7. Peti ais kecil
8. Sachet di sediakan
9. TV channel basic dan channel Hijrah paling clear. 
10. Customer service baik.
11. Sarapan pagi untuk dua orang. Kami bertiga tapi diberi percuma untuk seorang lagi selepas dipujuk rayu hehehe.

Kontra
--------
1. Mangkuk tandas sedikit kotor.
2. Tandas kadang2 berbau tapi tak sampai ke ruang bilik tidur. Mungkin tiada ruang udara keluar masuk di tandas.
3. Air sinki dan air paip tandas perlahan.
4. Tiada tap air panas.
5. Tiada baldi untuk letak pakaian basuhan
6. Malam banyak nyamuk. Jangan buka pintu.

Berkenaan KIR ini kami diberitahu oleh seseorang di pulau itu yang tukang masak di KIR ini adalah  orang Cina dan masakan tengahari dan malam disediakan beliau. Hanya sarapan pagi tukang masak Melayu. Juga kami diberitahu, staff KIR pernah ternampak balang berisi daging merah terletak di antara ruang2 rempah ratus di dapur dan ketika pegawai kesihatan datang buat spot check di dapur2  chalet Pulau Kapas, balang berisi daging merah itu sempat disorokkan oleh tukang masaknya. Macam tu lah cerita yang disampaikan kepada kami. Katanya dia dah nasihatkan staff KIR supaya buat aduan pada Jabatan Agama.  Jadi kami pun tak rasa dah nak makan di KIR. Makan di chalet lain saja.  Kami sempat makan malam di situ hari pertama itu pun kami ingatkan orang Melayu yang masak. Patutlah aku nampak perempuan cina keluar dari dapur juga nampak ada botol arak di atas meja makan yang gelap.  Terkejut juga nampak botol arak tiba2 muncul entah dari mana.  Seingat aku KIR tak jual arak dan setahu aku sebelum ini KIR ini diuruskan oleh orang Melayu  dan menurut orang pulau itu memang pun sebelum ini orang Melayu yang mengurus tapi tak pasti kenapa Cina yang uruskan sejak selepas Raya Cina tahun ini dan katanya bulan  Jun ini  pengurusan akan diambil alih oleh orang Melayu semula. Menurut orang yang bercerita itu hanya Kapas Beach Chalet dan Turtle Valley sahaja yang ada jual arak kerana kedua2 chalet itu diuruskan oleh  bukan Islam. Jadi kepada sesiapa yang menginap di KIR sila pastikan pengurusannya dah bertukar dan tukang masaknya juga dah bertukar.

Ini pula kos ke Pulau Kapas dari jeti Marang.
-----------------------------------------------------
1. Tiket pergi balik RM30 seorang. Tiket kami beli di kaunter MGH travel di jeti Marang. Harga kadang2 berlainan bagi setiap counter. Jika book dengan chalet harga akan sedikit mahal, Mungkin tambahan RM5 atau RM10. Lebih baik beli terus di kaunter.
2. Snorkeling RM25 seorang (RM15 sewa goggle dan jaket keselamatan), RM10 bot. Kayak RM15 seorang.  Setiap chalet mungkin lain harganya. Harga boleh dirunding.
3. Makan memang mahal. Harganya dua kali ganda dari harga di darat. Kami pernah makan di chalet Pakya, KIR dan  sebelah jeti entah apa nama kedai tak ingat. Semua makanan di tempat yang kami makan tidak mengecewakan.


Ini video bilik Deluxe Seaview yang kami menginap



Ini pula cafeteria Kapas Island Resort.







Ini Chalet Seaview yang kami menginap
Jeti Pulau Kapas. Di jeti ni pun dah boleh memancing dan mencandat




Nikmatnya minum waktu tengahari


Segerombolan ikan yang dapat di lihat dari jeti. Macam ikan bilis.
Persisiran pantai. Langit mendung
Aktiviti kayak
Waktu petang
Waktu senja
Mamat ni sedang memancing dan mencandat di jeti. Berjaya menangkap seekor sotong dan seekor bawal putih.


Thursday, May 02, 2013

Friendship Motel, Pulau Pinang

30 Apr  baru ni aku dan kawan pergi berjalan ke Pulau Pinang. Biasanya kalau ke sini kami akan selalu menetap di motel ini. Bukan sahaja murah tapi bersih dan khidmat pelanggan dia memang terbaik. Kami pernah menginap di bilik 208, 213 dan entah tak ingat.  Biasanya harga bilik yang kami duduk bilik standard harga RM58/68. Kali ini kami duduk di bilik besar dengan satu single bed dan satu queen bed. Bilik standard dah penuh. Harga RM78 selepas kurang RM10 sebab mungkin kami check-in dah lewat hampir 12 malam atau bilik itu tak ada tv. Tak penting tv tu yang penting internet bagus. Harga bilik paling murah RM38.

Friendship Motel terletak berdekatan Padang Kota. Hanya 10 minit ke Padang Kota


Pro
------
1. Murah
2. Bilik dan bilik air bersih
3. WIFI baik
4. Khidmat pelanggan terbaik
5. Tisu tandas di sediakan
6. Tap air mandi sejuk/panas
7. Bilik aircond
8. Ada dua soket kuasa
9. Ada bilik di ground floor tapi bilik air di luar.

Kontra
--------
1. Tiada cerek
2. Tiada lif
3. Tilam dan cadar jenis murah (oklah tu dengan motel yang murah)


 Ini video bilik 208 yang kami menginap tu.






Thursday, April 25, 2013

Ikan Bakar Parameswara, Umbai

Selepas balik dari Johor Bahru singgah di Umbai nak makan ikan bakar di kedai Parameswara yang kata  orang di alam maya sedap ya amatlah. Bulan Februari lalu singgah sini tapi orang terlalu ramai sampai habis udang dan sotongnya. Tak sempatlah nak makan terpaksa makan kedai lain jadi kali ni tercapailah cita2.

Tak berapa ramai orang tetapi masih ramai berbanding kedai lain yang amat lengang

Kami ambil sotong, udang dan sayur brokoli. Sotong masak sambal dan goreng tepung, udang pulak minta dimasak buttered.  Ini hasilnya.


 Gambar sayur tak ada tak sampai lagi. Perut dah lapar makan apa yang datang dulu. Komen :

1. Yang datang bukan udang buttered tapi udang nestum. Rasanya ya allah...amat tak sedap. Adakah patut masak nestum dia letak bawang putih dengan bawang besar. Rasanya sangat mual. Makan dua ekor dah cukup mual rasa nak muntah pun ada. Tak ada kedai melayu yang boleh lawan masakan udang nestum atau buttered dari kedai cina. Maksud aku kedai cina muslimlah ya.
2. Udang sambal dia pun tak sedap langsung. Rasa cili dia yang tak masak memang terasa. 
3. Sotong goreng tepung pula nampak tak bermaya rasa hanya boleh tahan.
4. Sayur goreng dia ok boleh terima.
5. Sambal cicah ikan dia pun tak sedap. Rasa biasa2 saja.

Kesimpulannya, aku rasa orang yang buat review kata masakan kedai Parameswara ini sedap mesti suku-sakat tokey kedai.  Kedai lain di tepi-tepi tu  lagi sedap dari Parameswara. Ini kira yang pertama dan terakhirlah kami datang ke kedai ini. Oh ya, harga keseluruhan termasuk air tembikai satu dan nasi satu RM43. Adioss!!.

T-Hotel, Johor Bahru

Sabtu lepas 13 April aku pergi ke Johor Bahru duduk di hotel T-Hotel. T-Hotel ni macam ambil aura Tune hotel. Tengok gambar ni yang di cilok dari website t-hotel.com.my kan macam sama tu . Nak tangkap dari kamera sendiri tak sempat.

 Waktu siang kawasan ini agak sibuk. Malam pun sibuk dengan kenderaan dan kupu-kupu malam.


Aku menginap bilik normbor 215. Harga standard room RM99. Ini pro dan konta.

Pro
---
1. Hotel ada lif
2. Bilik ada kipas dan aircond
3. Disediakan dua sachet nescafe
4. Siaran tv ada FOX movies
5. Bilik dan bilik air bersih


Cons
----
1. Bilik terlalu comel (bukanlah isu sangat pun). Nak solat payah. 
2. Tak ada pengelap kaki. Bila keluar bilik air mesti basah lantai. Ini dah di tulis dalam borang kaji selidik semasa keluar.
3. Waktu malam amat menakutkan . Di luar hotel secara terbuka berkeliaran pondan2 dan pelacur berbangsa India yang mencari kasih sayang jantan2 gersang. Kalau kita lalu mesti akan dipandang jantan2 di situ. Seriau dol. Apa kerja pihak berkuasa tak tahulah. Padahal ini jalan besar yang kenderaan selalu lalu lalang. Untuk keluarga tak sesuailah duduk di sini.

Ini video bilik tu.



Sunday, February 24, 2013

Muslim Hotel, Cameron Highland

Ini kali ke 7 aku ke Cameron Highland. Sambut hari lahir di sinilah kononnya. Aku belum jemu lagi ke sini. Cameron memberikan ketenangan dan kesejukan. Setiap kali ke sini aku rasa geram, marah dan sedih apabila melihat manusia-manusia kapitalis menarah bukit-bukit untuk pembangunan yang akhirnya hanya membawa keuntungan sementara kepada diri sendiri. Pantang nampak bukit-bukau, kawasan lapang, kawasan berpokok semua nak sapu. Tak berfikirkah yang Cameron semakin panas sebab tangan-tangan manusia keparat? Yang memberikan lesen memusnahkan kawasan hutan Cameron Highland ini aku labelkan bodoh dan jahat. Makcik aku pernah cerita dulu-dulu mungkin 70 tahun lepas agaknya makanan tak payah di simpan dalam peti ais cukup letak dalam almari dah boleh beku (entah betul ke tak). Dulu rumah tak ada kipas sekarang sudah nampak tempat berkipas. Contoh restoran tempat aku menginap baru ini.

Kali ini aku memilih menginap di Muslim Hotel, Tanah Rata yang baru di buka Disember 2012. Sebelum ini aku balik hari, berkhemah atau duduk di rumah TM. Harga setiap bilik adalah seperti di bawah. Untuk lebih lanjut boleh pergi ke websitenya http://www.muslimhotel.com.my tapi harga di websitenya tidak update.




Aku memilih bilik King yang bertingkap dan harganya rm140. Bilik bernombor 1002. Harganya berlainan mengikut musim, hari biasa, hari minggu dan cuti umum. Bilik paling murah berharga RM72. Secara ringkas aku cuma hendak senaraikan Pro dan Kontra berkenaan Muslim Hotel ini.


Pro
----
1. Radio di lobi di pasang alunan ayat quran.
2. Customer service bagus sentiasa senyum
3. Bilik bersih dan cantik
4. Disediakan sarapan pagi
5. Setiap floor ada surau kecil disediakan
6. Setiap floor ada WIFI
7. Sarapan pagi simple tapi sedap
8. Bilik ada astro.
9. Hotel ini dibuka untuk menjadi ahli dengan bayaran RM50 seumur hidup dan diberikan diskaun 10% dari harga asal. Hanya 5 kali penginapan setahun untuk mendapatkan harga diskaun

Kontra
-------
1. Perkhidmatan WIFI tidak bagus. Diakui sendiri oleh receptionist menurut beliau TM selalu datang ke situ untuk memeriksa masalah yang dihadapi.Ada floor yang WIFInya tidak berfungsi.Connected dengan signal penuh pun tidak boleh akses internet. Bilik aku berdekatan lobi pun tidak sampai coveragenya.
2. Tidak disediakan tisu tandas. Tida ada shampoo dan sabun disediakan dalam bekas pencuci tangan.
3. Tidak diberikan uncang teh untuk minum hanya gelas dan cerek
4. Shower mencecah shiling tak tercapai tangan. Airnya tidak panas hanya suam
5. Air bertakung sedikit di bilik mandi lambat hendak turun. Mungkin lantai bilik air dibuat rata.
6. Bilik bertingkap memberikan gangguan bunyi kenderaan lalu lalang. Perlu ditutup selalu.
7. Tiada lif. Tapi ada satu atau dua bilik di ground floor.

Apa-apa perniagaan berjenama Islam dan muslim mestilah sempurna atau paling tidak pun perlulah lebih baik dari pesaing mereka. Bila membawa jenama Islam/Muslim kualiti mestilah yang terbaik. Untuk Hotel Muslim yang aku menginap perlulah dipastikan perkara 1,2,3 dan 5 diatasi. Harap bilik, bilik air dan setiap ruang sentiasa terjaga kecantikan sehingga bertahun lamanya. Di bawah disertakan beberapa keping gambar dan videobilik yang aku duduk. Adioss!!


Gambar bilik aku menginap, lobi dan restoran hotel.


Bilik King tapi katilnya saiz Queen.


Restoran hotel. Bersih dan boleh tahan sedap makanannya. Makanan adalah ala carte.


Inilah sarapan pagi. Bihun goreng, nasi goreng dan telur goreng. Air pula kopi dan teh panas. Nikmat dan boleh tahan sedapnya.



Ini pekerja di restoran hotel tersebut. Berbudi bahasa bila melayan pelanggan. Jarang bertemu pekerja seperti remaja ini.

Ini video bilik.